Ishak Buji mahu bawa perubahan di DUN Asajaya

Iklan
Ishak Buji

ASAJAYA - Bukan sekadar menabur janji, muka baharu calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Ishak Buji berazam membawa perubahan terutamanya melibatkan pembangunan infrastruktur asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya apabila diberi mandat.

Menurut anak jati kelahiran Asajaya itu, penyediaan kemudahan asas dilihat lebih diperlukan berbanding projek-projek mega yang kini sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan di kawasan itu.

Iklan
Iklan

"Saya inginkan pembangunan asas infrastruktur yang lebih baik begitu juga dengan penduduk di sini. Lebih-lebih lagi pada waktu malam tiada lampu jalan disediakan di jalan raya di sini sehingga mengundang bahaya kepada pengguna.

"Dalam keadaan gelap, apa-apa boleh berlaku kerana kita tidak tahu keadaan jalan sama ada berlubang ataupun rosak. Malah kita juga tidak tahu sampai bila keadaan jalan itu akan dibaik pulih," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, ahli perniagaan yang berusia 37 tahun itu berkata, beliau komited mahu memajukan kawasan Asajaya berdasarkan pengalamannya terlibat dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, selain itu, isu kebajikan golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta sosioekonomi penduduk turut akan menjadi agenda dalam manifestonya.

Iklan

"Masih terdapat segelintir daripada mereka termasuk anak-anak kelainan upaya (OKU) yang tidak mendapat bantuan kerusi roda serta bantuan-bantuan yang lain.

"Malah saya turut berhasrat untuk meningkatkan sosioekonomi tempatan di sini kerana kawasan Asajaya mempunyai tanah yang begitu luas dan penduduk kampung cuma bergantung kepada pertanian dan perikanan," ujarnya.

Sementara itu, Ishak menyifatkan situasi politik di Sarawak secara keseluruhannya lebih harmoni dan persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini turut mencerminkan sistem demokrasi dalam pentadbiran negara.

Untuk rekod, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya selama empat penggal sejak 2001.

Pada PRN-12, kerusi DUN Asajaya bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Ishak Buji (PSB), Abdul Karim (GPS), Mahmud Epa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mahdeen Saharuddin daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).