Keciciran tidak boleh lagi dipandang ringan

Iklan
Gambar hiasan 123rf.

INGATKAH kita semua kepada insiden seorang influencer memalukan seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Hadi suatu ketika dahulu.

Sewaktu kejadian tersebut berlaku, netizen tidak ubah seperti pahlawan di medan perang dan berlumba-lumba untuk melampiaskan rasa marah kerana tidak puas hati dengan kejadian itu.

Iklan
Iklan

Masakan tidak, rakaman video tular mempamerkan seorang anak muda didakwa meninggikan suara terhadap seorang warga emas yang selayaknya dihormati, namun sebaliknya berlaku.

Benar kedua-duanya sudah saling bermaafan dan berdamai.

Iklan

Namun, apa yang menjentik fikiran penulis ialah penjelasan Pak Cik Hadi yang mengatakan dirinya tidak tahu membaca atau kata mudah buta huruf kerana tidak ke sekolah disebabkan keluarga kurang berkemampuan.

Mungkin pada pandangan kita melihat fizikal zahir warga emas itu dirasakan hal tersebut masuk akal, tetapi persoalannya bagaimana dengan generasi sekarang?

Iklan

Lebih-lebih lagi apabila norma Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan. Ada antara pelajar yang keluarganya tidak mampu menyediakan kelengkapan peranti dan tempat pembelajaran selesa buat anak-anak.

Jalan mudah yang diambil adalah dengan membiarkan sahaja mereka tanpa pendidikan.

Justeru, kanak-kanak ini dibiarkan menjadi pelajar tercicir dan berdepan dengan kesukaran untuk bersaing dengan mereka yang datang daripada keluarga berada.

Berdasarkan hasil laporan badan penyelidikan dunia Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Pendidikan pada Jun tahun lalu, mereka menjangka lebih satu bilion kanak-kanak akan berada jauh ke belakang sekiranya tidak mempunyai akses peranti dan internet yang baik.

Situasi tersebut berbeza dengan negara yang mampu menyediakan segala kemudahan pembelajaran dalam talian.

Ini bukan temberang nujum pak belalang, tetapi fakta nyata bahawa kita sedang berdepan dengan satu lagi ‘penyakit’ akibat penularan virus Covid-19.

Tidak kurang itu, pihak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut menyatakan dalam laporan yang dikeluarkan pada tahun lalu bertajuk Peralihan Kehilangan Generasi Covid (Averting a Lost Covid Generation). Menurut mereka, sehingga November 2020 lebih 572 juta kanak-kanak terjejas teruk akibat penutupan sistem pendidikan.

Hal tersebut sekali gus menyebabkan pelajar keciciran. Bukan mahu mengata, tetapi meskipun pergi ke sekolah tetap juga mendapat keputusan corot, inikan pula tidak bersekolah.

Mungkin kita berasa lucu apabila menonton babak sekolah buta huruf dalam filem Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Naskhah terbitan sekitar tahun 1950-an itu bagaikan satu refleksi bahawa suatu masa nanti tidak mustahil jika ia berlaku selepas ini.

Data

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilakukan pada tahun lalu, sekitar 1.85 juta murid tidak memiliki peralatan pembelajaran untuk meneruskan kelas dalam talian.

Sebanyak 90 peratus pula perlu meminjam atau berkongsi dengan ahli keluarga manakala hanya 10 peratus sahaja yang mempunyai kelengkapan untuk kegunaan PdPR.

Situasi lebih meruncing apabila tahap keciciran pelajar sekolah rendah mempamerkan peningkatan daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.13 (2020).

Sementara itu, pelajar sekolah menengah yang tercicir berada pada tahap 1.14 peratus (2019) meningkat kepada 1.26 peratus (2020).

Perkara sebegini mungkin tidak sehebat dengan kisah kehilangan berbilion ringgit wang rakyat, tetapi tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mengelakkan kita ketandusan ‘aset’ sebenar negara.

Pihak berwajib perlu berkomunikasi terus dengan keluarga pelajar dan mengadakan pelan rancangan bagi memastikan negara dapat melahirkan generasi terpelajar.

Bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi masyarakat perlu memberi sokongan kepada individu buta huruf agar tidak berasa tersisih.

* Nurul Fadila Awaludin ialah Wartawan Sinarplus Lifestyle