GANDINGAN profesional negara, Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi yang mempamerkan aksi meyakinkan berjaya menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol pada Selasa.
Pasangan negara yang mudah menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12, bagaimanapun hampir diheret ke set penentuan apabila ketinggalan di belakang lawan mereka dari Denmark Joel Eipe-Rasmus Kjaer 10-18 pada set kedua.
Pilihan kesembilan kejohanan itu bagaimanapun berjaya mengejar mata demi mata hingga menyamakan kedudukan pada 19-19 sebelum menoktahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 39 minit perlawanan.
Yew Sin-Ee Yi yang kini menghuni ranking ke-12 dunia bakal berdepan pasangan kesembilan dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mara selepas menewaskan wakil Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, 21-4, 21-12.
Turut melangkah ke pusingan ketiga adalah beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan selepas tidak berdepan masalah mengenepikan cabaran India, Saurabh Sharma-Anoushka Parikh 21-8, 21-18.
Namun, pasangan negara yang kini berada di ranking ke-11 itu mempunyai misi berat apabila dijadual bertemu pilihan ketiga dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.
Sementara itu, satu lagi kejayaan dilakar Malaysia dalam acara beregu lelaki menerusi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menewaskan Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland pada aksi pusingan kedua yang berlanjutan hingga set penentuan.
Selepas mudah mencatat kemenangan 21-14 di set pertama, rentak sama gagal diteruskan Sze Fei-Nur Izzuddin di set kedua selepas ketinggalan hampir sepanjang permainan sebelum akhirnya tewas 19-21.
Bagaimanapun, pasangan negara itu berjaya menebus kekecewaan tersebut dengan mempamerkan aksi bertenaga untuk menamatkan perlawanan yang memakan masa hampir satu jam dengan kemenangan 21-16.
Pada pusingan ketiga, Sze Fei-Nur Izzuddin akan membuat perhitungan menentang juara Olimpik 2020 Lee Yang-Wang Chi-lin dari Taiwan yang tewas mengejut di tangan mereka pada pusingan kedua Terbuka Indonesia 2021 di Bali bulan lepas. - Bernama