Isu teknologi 5G, mata wang kripto tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Dewan Rakyat - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Persoalan berkenaan pembekal, kontraktor dan syarikat yang terlibat dalam implementasi 5G serta kos keseluruhan pelaksanaan teknologi itu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Dr A Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) yang mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan pada sesi soal jawab.

Iklan
Iklan

Menteri Kewangan juga dijadualkan menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu mengenai strategi kerajaan untuk memastikan rakyat terutamanya golongan belia tidak ketinggalan dalam memahami teknologi blok rantai.

Lukanisman turut meminta penjelasan berhubung pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian serta inisiatif untuk mengolah mata wang kripto sendiri iaitu stablecoin.

Iklan

Selain itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli pula diminta menyatakan langkah serta-merta kementerian berkenaan untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil serta merangsang penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Soalan tersebut dikemukakan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang juga ingin tahu rancangan kementerian dalam mengurangkan pengeluaran karbon untuk mencapai neutral karbon sebelum tahun 2050.

Iklan

Antara tumpuan lain, Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai usaha dan insentif memajukan industri taman tema hiburan keluarga di Malaysia yang semakin malap dan menanggung kerugian besar akibat Covid-19.

Selesai sesi soal jawab, persidangan itu akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2021.

Dewan Rakyat bersidang hingga Khamis. - Bernama