Tiada kewarganegaraan: Pelajar cemerlang kempunan duduki STPM

Iklan
Mohd Khalid (kiri) dan Nurul Syuhada (tengah) menunjukkan slip keputusan cemerlang peperiksaan percubaan SPM 2018 dan surat rayuan permohonan taraf kewarganegaraan anak angkat yang dikemukakan pihak keluarga angkat kepada KDN sebelum ini.
PARIT BUNTAR - Seorang pelajar berpotensi cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 berdepan dilema kerana gagal menduduki peperiksaan utama itu kerana tiada kad pengenalan.

Lebih malang, masa hadapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Panglima Bukit Gantang, Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris,17, yang berketurunan Kemboja itu kini gelap susulan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula minggu depan atas faktor 'tiada kewarganegaraan'.

Wakil keluarga angkat pelajar itu, Mohd Khalid Fatharuddin,58, berkata, pihaknya merayu campur tangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mempercepatkan rayuan kelulusan Nurul Syuhada bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia sebelum bermulanya SPM.

Menurutnya, perkara itu penting kerana Nurul Syuhada dilahirkan di negara ini sebelum diserahkan kepada sebuah keluarga angkat terdiri rakyat Malaysia susulan kedua-dua ibu bapa kandungnya pulang ke negara asal mereka.

Iklan
Iklan
"Sebenarnya, rayuan permohonan taraf kewarganegaraan Nurul Syuhada sudah dikemukakan kali pertama di Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) Perak pada tahun 2013 namun tidak berjaya.

"Kemudian, keluarga angkat Nurul Syuhada meneruskan usaha itu pada tahun 2016, namun masih tidak berjaya atas alasan status pelajar itu bukan warganegara meskipun sudah dibela oleh keluarga angkat sejak lahir.

"Saya bersama keluarga angkat Nurul Syuhada amat sedih sekiranya dia tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2018 minggu hadapan kerana pelajar itu merupakan seorang pintar dan berpotensi mendapat keputusan cemerlang," katanya pada sidang media di Taman Kerian Permai di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata, potensi kecemerlangan Nurul Syuhada mula dilihat apabila pelajar itu memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR), diikuti keputusan 8A, 1B dan 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan terbaharu meraih keputusan 6A dalam ujian percubaan SPM baru-baru ini.

Iklan
Menurutnya, kelulusan kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan itu juga penting kerana Nurul Syuhada kini 'tiada warganegara' dan situasi ini akan memberi implikasi negatif terhadap masa hadapan pelajar itu.

"Kementerian juga perlu menyedari Nurul Syuhada juga tidak memiliki taraf kewarganegaraan negara asal kelahiran ibu bapanya, Kemboja dan berdepan kesukaran memohon taraf tersebut susulan terputus hubungan dengan kedua ibu bapa kandung.

"Kami merayu pihak kementerian menggunakan budi bicara membenarkan Nurul Syuhada menduduki SPM minggu hadapan kerana pelajar cemerlang itu layak mendapat pendidikan sempurna untuk memenuhi potensi besar terdapat dalam dirinya,"katanya.

Sementara itu, Nurul Syuhada sewaktu ditemui bingung memikirkan masa hadapannya setelah dimaklumkan dirinya tidak dibenarkan menduduki SPM 2018.

Iklan
Menurutnya, kegagalan mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia yang merupakan syarat wajib mana-mana pelajar menduduki peperiksaan SPM turut menyukarkan dirinya untuk menjalani urusan dengan bank dan sebagainya.

"Saya merayu diberi peluang sama rata untuk mendapatkan peluang pendidikan yang sempurna kerana saya menyedari perkara itu penting untuk menentukan masa hadapan lebih cerah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Khas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak ketika ditemui mengesahkan aduan membabitkan kes Nurul Syuhada sudah dikemukakan kepada pihaknya sejak bulan September lalu.

Menurutnya, perkara itu sudah dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan untuk membolehkan rayuan kes Nurul Syuhada dipercepatkan kelulusan.

"Namun, menerusi surat maklum balas dikeluarkan KDN bertarikh 11 Oktober lalu, pihak kementerian itu hanya memaklumkan kes Nurul Syuhada akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya mengikut prosedur sedia ada.

"Pihak kami berharap pertimbangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana tarikh bagi Nurul Syuhada menduduki peperiksaan SPM sudah semakin suntuk," katanya.