Cuepacs cadang wujud jawatan khusus warden asrama sekolah

Iklan
Adnan Mat

PORT DICKSON - Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan pengkhususan khas bagi jawatan warden di setiap asrama sekolah di negara ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan mereka yang dilantik sebagai warden dapat melakukan tugas secara sepenuh masa dan lebih efisien tanpa terlibat tugasan lain.

Iklan
Iklan

"Cuepacs mengambil berat terhadap kes buli yang berlaku di sebuah institusi pendidikan baru-baru ini dan pada masa sama kami amat simpati kepada warden-warden yang bertugas kerana mereka adalah warden yang dilantik atas tambahan tugas daripada guru-guru yang sedang bertugas," katanya pada sidang media selepas selesai Seminar Pemantapan Diri Penjawat Awam Cuepacs Negeri Sembilan di sini, pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji cadangan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Iklan

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata, perkara itu perlu diperhalusi berdasarkan laporan penuh kes buli termasuk kes melibatkan seorang pelajar yang dipercayai dibuli sekumpulan pelajar lain di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak.

Tambah Adnan, ramai guru menolak untuk menjadi warden kerana tanggungjawab yang berat tetapi elaunnya tidak setimpal.

Iklan

"Justeru, kami mencadangkan supaya kerajaan wujudkan suatu pengkhususan khas jawatan warden atau lantik terus mana-mana anggota (penjawat awam) untuk berkhidmat sebagai warden bukannya disandang secara sambilan atau disandang secara tambahan tugas, kepada guru-guru sedia ada.

"Guru-guru ini sudah ada tanggungjawab khusus mereka sebagai seorang pengajar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jawatan warden ini adalah penting, dahulunya asrama mempunyai jawatan penyelia asrama tetapi sebahagiannya digabungkan dengan skim perkhidmatan lain menyebabkan tiada fokus utama kepada fungsi tugas jawatan warden tersebut dan akhirnya disandang oleh guru," katanya.