KEPALA BATAS - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyita 125 buah mesin jual air yang beroperasi tanpa kebenaran bernilai RM875,000 di seluruh negeri ini dalam Ops Sita yang diadakan selama dua hari bermula Selasa.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya membuat pemantauan sejak dua minggu lalu sebelum operasi secara serentak dijalankan di lima daerah di negeri ini.
Menurut beliau, kebanyakan mesin jual air yang disita merupakan milik syarikat sama yang telah diambil tindakan dalam operasi empat tahun lalu.
"Semua mesin yang disita di seluruh negeri ini didapati tidak mempunyai lesen beroperasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM). Ia sepatutnya mendapat kebenaran daripada pengarah kesihatan sebelum beroperasi.
"Kebanyakan pemilik mesin ini adalah individu sama yang diambil tindakan sebelum ini, menunjukkan mereka masih mengambil lewa tanpa mengambil tindakan sewajarnya.
"Oleh demikian, kita menyita semua 125 buah mesin jual air di seluruh Pulau Pinang kerana beroperasi tanpa kebenaran," katanya kepada media selepas operasi di sini pada Rabu.
Katanya, selain beroperasi tanpa kebenaran, mesin jual air yang disita itu juga tidak diselenggara dengan baik sehingga ada yang sudah berlumut pada bahagian tadahan air.
"Mesin-mesin ini tidak diselanggara dengan baik kerana tahap kebersihannya amat teruk. Ada yang berlumut di bahagian tadahan air kesan daripada takungan air di situ.
"Keadaan mesin juga ada yang sudah berkarat dan ini yang kita bimbang, kemungkinan air yang diminum orang awam turut dicemari," katanya.
Mohd Wazir menambah, selain beroperasi tanpa kebenaran, syarikat pemilik mesin juga menggunakan logo halal yang diragui statusnya.
"Pemeriksaan pada badan mesin mendapati, ada memaparkan logo halal dan kita tidak pasti status logo berkenaan. Kita akan semak dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sama ada benar ia diberikan kebenaran penggunaan logo tersebut atau ia sekadar strategi pemasaran.
"Ada juga dipaparkan tuntutan kesihatan kononnya air tersebut mengandungi vitamin yang boleh menyihatkan si peminum. Sementara itu, bagi isu penggunaan sumber air dan elektrik, kita akan panjangkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sama ada ia menjadi satu kesalahan atau tidak.
"Kita sangsi apabila pemilik premis yang menyalurkan bekalan air dan elektrik, tiada perjanjian hitam putih dengan pemilik mesin jual air. Ia menyukarkan kita mengenakan kompaun atau mengambil tindakan," katanya.
Menurut beliau, pihak JKNPP akan memberi tempoh selama 14 hari kepada pemilik mesin jual air untuk hadir ke mana-mana pejabat JKNPP untuk tindakan lanjut.
"Sekiranya selepas tiga bulan, mereka gagal berbuat demikian, kita akan membuka kertas pertuduhan untuk memohon mahkamah melupuskan mesin-mesin berkenaan. Kita tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa pengguna.
"Walaupun belum ada kes keracunan dilaporkan, namun kita amat memandang serius isu mesin jual air ini. Oleh demikian, kita akan menjalankan pemeriksaan berkala setiap tiga atau enam bulan sekali bagi memastikan tahap kebersihan mesin dan air terjaga.
"Sampel air juga akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Oleh demikian, saya menasihatkan pengguna agar memilih mesin yang mempunyai pelekat KKM kerana kebersihan airnya terjamin," ujar beliau.
Tindakan penyitaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.