SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk memansuhkan monopoli permit import bagi memastikan harga barangan dapat dikawal.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, permit import harus dibuka secara bebas kepada umum agar persaingan sihat dapat berlaku.
"Dalam pembukaan semula ekonomi ini terdapat pihak yang mengambil kesempatan. Ia seolah-olah membalas dendam akibat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terlalu lama.
"Peniaga di pasar terpaksa menaikkan harga ayam sehingga sekilo RM10.70, harga sayuran naik mendadak, brokoli berharga RM20, kubis bunga RM16, cili merah RM19, barang basah naik melonjak sehingga membebankan rakyat.
"Bagaimanakah nasib rakyat yang tinggal di bandar, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya? Kita tidak ada tanah untuk bercucuk tanam. Apatah lagi untuk membuka ladang ternakan ayam, itik dan lembu,” katanya ketika membahaskan berkaitan Bajet 2022 di Dewan Negara pada Rabu.
Menurut beliau, apabila kerajaan memberi banyak pilihan kepada pemegang permit import, maka mereka akan bersaing sesama sendiri, dan persaingan sihat tersebut akan menguntungkan rakyat, khususnya dalam tawaran harga yang rendah.