MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia di semua kawasan Parlimen negeri ini bermula Sabtu dan Ahad.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, langkah ini sebagai inisiatif kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna dalam kalangan berpendapatan rendah.
"Ini merupakan kerjasama antara KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam menangani situasi kenaikan harga barangan ketika ini.
"Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) akan diadakan di semua Parlimen termasuk Parlimen Tangga Batu, Parlimen Jasin, Parlimen Alor Gajah, Parlimen Hang Tuah Jaya dan Parlimen Kota Melaka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, program yang diadakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan itu bermula sejak 4 Disember lalu di Parlimen Masjid Tanah adalah penggembelengan usaha pelbagai agensi kerajaan serta pemain industri.
Ujarnya, melalui penganjuran program itu, pengguna mendapat tawaran barangan pada harga antara 20 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
"Diharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah," katanya.
Tambah beliau, KPDNHEP Melaka turut mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
Malah katanya, pegawai penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bersedia dan melaksanakan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
"Kekalkan etika perniagaan yang baik dan bersama-sama kita membantu kerajaan dalam menangani penipuan dan penindasan dalam perniagaan," katanya.