Kelulusan pindaan perlembagaan buka jalan kepada pemulihan MA63

Iklan
Hajiji - Foto fail Bernama

KOTA KINABALU - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah penting dan akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya perjanjian itu, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

"Ia adalah detik penting dalam sejarah negara kita dan lebih-lebih lagi, ia diluluskan sebulat suara di Parlimen.

Iklan
Iklan

"Kami bersungguh-sungguh dalam hal ini dan Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri sedia menerima permintaan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rang undang-undang itu yang diluluskan pada Selasa dengan majoriti lebih dua pertiga menerusi undi belah bahagian akan menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Iklan

Hajiji berkata, dengan asas-asas MA63 dilaksanakan, langkah seterusnya boleh diambil untuk bergerak lebih jauh ke hadapan dalam memulihkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau mengulangi bahawa Majlis Khas MA63 adalah penting kerana ia manifestasi kesediaan kerajaan hari ini untuk duduk dan menyelesaikan isu berkaitan Keluarga Malaysia.

Iklan

Ketua Menteri itu memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah tidak akan berhenti di sini, sebaliknya meneruskan usaha untuk mengembalikan semula hak negeri melalui Majlis Khas MA63. - Bernama