Penduduk lega jalan runtuh dibaiki, diturap tar

Iklan
Jalan yang sebelum ini runtuh telah diturap tar pada Isnin lalu sekaligus melegakan penduduk Kampung Pamah Rawas, Raub.

RAUB - Selepas empat bulan dilanda keresahan, penduduk Kampung Pamah Rawas, di sini menarik nafas lega dengan jalan bertar yang baharu di laluan utama kampung tersebut dan boleh digunakan sejak Isnin lalu.

Sebelum ini jalan berkenaan yang juga digunakan oleh penduduk Kampung Peruas, di sini tidak dapat dilalui selepas pembetung di lokasi terbabit runtuh pada September lalu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pamah Rawas, Mohd Nazri Othman memberitahu, kerja-kerja menurap tar di jalan terbabit oleh pihak berkaitan dilakukan sejak Isnin dan boleh digunakan pada hari sama.

"Ia memang melegakan lebih 500 penduduk yang risau dengan keselamatan selain menyukarkan mereka menjalani urusan harian.

Iklan

"Selain itu, pengunjung juga dapat ke Kampung Peruas yang terkenal dengan kawasan pelancongan.

"Namun buat sementara waktu, kenderaan berat masih tidak boleh menggunakan jalan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Ujarnya, beberapa langkah telah diambil sebelum ini hasil inisiatif JPKK antaranya meletakkan batu di jalan berkenaan selain menggunakan laluan alternatif.

"Cuma kami berharap pembinaan jalan baharu nanti dapat disegerakan untuk kegunaan penduduk terlibat.

"Pembinaan jalan baharu dijangka dijalankan awal tahun depan dan bakal siap pada Jun atau Julai nanti," ujarnya lagi.

Difahamkan pembetung di laluan terbabit sudah uzur selepas dibina sejak tahun 60-an dan aliran air deras memburukkan lagi situasi.