Ular mainan cetus panik

Iklan
Faizilawati (kiri) dan Nur Alia Humairah 'menangkap' ular plastik yang diletakkan di atas pagar kebun selepas APM Taiping menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada Selasa.

TAIPING - Seekor ular mainan yang diletakkan di pagar kebun mencetuskan panik kepada seorang penduduk di Jalan Kampung Padang Besar, Changkat Jering, di sini apabila menyangka reptilia itu benar.

Malah penduduk terbabit turut menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Taiping bagi mendapatkan bantuan dalam kejadian pada Selasa.

Iklan
Iklan

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Taiping, Kapten (PA) Mohamad Haspi Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.56 petang daripada seorang wanita memaklumkan tentang penemuan seekor ular di kawasan tersebut.

Menurutnya, selepas itu, sepasukan empat anggota APM Taping ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi untuk menangkap reptilia berkenaan.

Iklan

"Pemanggil memaklumkan kepada anggota bahawa ular tersebut berada di atas pagar sebuah kebun dan setelah anggota berada di lokasi mendapati ular tersebut hanyalah ular plastik.

"Kita dimaklumkan bahawa kebun tersebut milik jiran pemanggil. Pemilik kebun yang meletakkan ular plastik tersebut di pagar berkenaan dipercayai bertujuan menakut-nakutkan haiwan liar lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan
Ular mainan yang mencetuskan panik kepada seorang penduduk di Jalan Kampung Padang Besar, Changkat Jering, Taiping.

Mohamad Haspi berkata, kejadian tersebut merupakan kes pertama seumpamanya diterima oleh APM dan pihaknya juga kerap menerima panggilan berkaitan ular sebelum ini.

Sementara itu, Kadet (PA) Faizilawati Husin yang bertugas di lokasi kejadian menjelaskan, pemanggil berusia 53 tahun itu sedang menjahit pakaian di rumah ketika melihat ular mainan tersebut.

Menurutnya, ketika memeriksa pagar berkenaan bersama Sarjan (PA) Radzi Basri dan Kadet (PA) Nur Alia Humairah Mustafa Kamal mendapati ular yang dimaksudkan itu bukan ular sebenar.

"Wanita tersebut membuat panggilan kecemasan itu kerana sebelum ini rumahnya pernah dimasuki haiwan liar itu dan tidak berani untuk memeriksa keadaan ular yang dilihat di pagar berkenaan.

"Ular plastik itu kemudian dibawa ke Pejabat APM Taiping sebagai bukti mengenai operasi yang dijalankan tersebut," katanya.