MULAI 2022, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi membolehkan atlet terus berada dalam program latihan yang disediakan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tindakan itu boleh diterjemahkan dengan mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi mengikuti program latihan sepenuh masa khususnya bagi tempoh persiapan menghadapi tiga temasya sukan utama melibatkan Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/Para Asia pada 2022.
Malah Ahmad Faizal berkata, berikutan tiada lagi sebarang peruntukan khusus bagi meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah yang perlu diperkenalkan semula.
"Penilaian prestasi atlet dinilai sejak sejak 2019 ekoran dunia sukan negara dan antarabangsa yang seolah-olah terhenti sementara di sepanjang tahun 2020 sehingga kini.
"Oleh itu, langkah ini perlu dilaksanakan bagi memastikan atlet-atlet berkualiti terus mendapat sokongan dan perkhidmatan terbaik bagi menjamin kejayaan mereka di peringkat tertinggi secara konsisten,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN pada Rabu.
Untuk rekod, seramai 288 atlet yang juga merupakan atlet berpotensi tinggi meraih pingat pada Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/Para Asia pada 2022 kelak dikenal pasti bagi mengikuti program latihan berkenaan secara sepenuh masa.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui MSN akan tetap berusaha mendapatkan peruntukan dana tambahan bagi membolehkan lebih ramai atlet mengikuti program latihan sepenuh masa berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kesemua atlet yang digugurkan perlu membuktikan kemampuan mereka dengan konsisten sebelum mengikuti program berkenaan.
"Dengan kualiti menjadi KPI, kesemua atlet yang telah digugurkan sebelum ini terlebih dahulu perlu membuktikan kemampuan mereka secara konsisten di pentas saingan tertinggi sebelum dapat kembali menikmati status yang pernah mereka miliki sebelum ini,” katanya.