KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Hukuman penjara 10 tahun kepada penghina Nabi Muhammad SAW adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada seluruh masyarakat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, hukuman yang tegas diperlukan bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi selepas ini.
Iklan
Iklan
"Sebenarnya kalau dalam Islam, hukuman kepada penghina nabi adalah hukuman mati.
"Itu dari sudut agama Islam. Dan kita pun tahu, mana-mana agama tidak boleh dihina, walaupun kita tidak setuju, kita tidak boleh hina agama orang lain," katanya kepada media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai pemilik akaun Facebook ‘Ayea Yea’, yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan atas 10 pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, beliau juga terkilan dengan tindakan sesetengah pihak yang bertindak menghina agama lain sedangkan Islam tidak pernah menghina agama mereka.
Malah Naib Presiden Pas itu juga berkata, seharusnya seluruh rakyat Malaysia menghormati agama masing-masing untuk terus mengekalkan keharmonian dan kemakmuran sedia ada.