KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewujudkan sistem baharu dinamakan ‘eLocker’ selaras dengan usaha mengekang aktiviti pemerdagangan manusia di negara ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sistem itu akan merangkumi data warga asing yang bekerja di negara ini antaranya maklumat peribadi, lokasi keberadaan serta status pekerjaannya.
"Apabila seseorang masuk ke Malaysia, menerusi eLocker ini, kita akan tahu keberadaannya, siapa dia, keluarga dia, kampung dia, dan kalau kerja di sini (Malaysia) akan dapat tahu sama ada mereka dapat gaji atau tidak.
"Menerusi eLocker juga, apa sahaja kesalahan yang dilakukan majikan kita pasti boleh ambil tindakan sewajarnya dengan secepat mungkin,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Hamzah berkata, sistem tersebut turut boleh diakses oleh negara-negara yang menyumbang tenaga kerja mereka ke negara ini.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan sebulat suara selepas dibahas 18 Ahli Parlimen dari blok kerajaan, pembangkang dan Bebas.
Sebelum itu, Hamzah ketika membentang pindaan terhadap Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) itu berkata, ia antaranya meliputi peningkatan hukuman penjara iaitu antara 15 hingga 20 tahun bagi kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Selain itu, ujar beliau, bagi kesalahan yang lebih berat, bentuk peningkatan hukuman dicadangkan adalah hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun atau bersamaan dengan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.
"Cadangan peningkatan hukuman penjara serta pengenaan hukuman sebatan ini menunjukkan keseriusan kerajaan bagi memastikan pelaku jenayah keji ini dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka,” katanya.
Tambah beliau, pindaan juga dicadangkan ke atas kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dilakukan penjawat awam semasa menjalankan tugasnya bagi menunjukkan keseriusan kesalahan penyalahgunaan kuasa. - Bernama