KWP, menteri tidak keluar kenyataan orang kaya sewa PPR

Iklan

KUALA LUMPUR - Laporan muka hadapan 'Orang Kaya Sewa PPR' yang disiarkan sebuah akhbar tempatan Selasa lalu bukan kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mahupun Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

KWP dalam satu kenyataan balas berkata, akhbar itu telah menggunakan istilah yang salah dan memetik di luar konteks jawapan bertulis serta mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam.

Iklan
Iklan

KWP menjelaskan, tiada sesi temu bual secara bersemuka antara Menteri Wilayah Persekutuan bersama wartawan atau editor berkaitan tajuk tersebut.

"Bagaimanapun, statistik yang digunakan di dalam laporan tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diberikan secara bertulis namun tiada penggunaan kata 'orang kaya’ atau yang seumpamanya," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Iklan

Tambah kenyataan itu, walaupun laporan tersebut bertujuan memberitahu kepada rakyat mengenai usaha yang dilakukan oleh KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun laporan itu tidak tepat.

"Penggunaan tajuk dan laporan berita tersebut memberi gambaran bahawa Menteri WP seolah-olah menyatakan PPR (Program Perumahan Rakyat) di Wilayah Persekutuan disewa oleh orang kaya dan unit dirampas daripada pemilik yang kebanyakan orang kaya.

Iklan

"Menteri dan KWP tidak mengeluarkan kenyataan tersebut. Justeru, tajuk dan pelaporan berita tersebut adalah pandangan dan penafsiran sendiri wartawan atau editor dengan menggunakan frasa Orang Kaya Sewa PPR," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, KWP melalui DBKL sentiasa prihatin dengan masalah warga kota yang memerlukan rumah untuk didiami seperti di PPR dan PA (Perumahan Awam) serta tidak akan berkompromi dengan mereka yang menyalahgunakan dan menyalahi syarat menyewa premis.

KWP turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan sentiasa diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyewa dan mendiami unit PPR dan PA.