MELAKA TENGAH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka sahkan kilang beroperasi di Bukit Rambai tidak melakukan caruman meskipun pemotongan setiap bulan dibuat terhadap gaji seorang pekerja wanita melecur ketika bertugas.
Bagaimanapun, Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Perkeso tetap akan menanggung segala kos perubatan Noor Sykira Syzlin Mat Ail, 22, yang melecur 52 peratus anggota badan dalam kejadian kebakaran 23 Februari lalu dan sepanjang mangsa dirawat di hospital.
Menurutnya, Noor Sykira Syzlin juga layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Faedah Hilang Upaya Sementara pertama, malah sudah dibayar kepadanya pada 11 Mac lalu bermula dari tarikh dimasukkan ke wad sehingga 10 Mac.
"Berdasarkan laporan daripada Perkeso, kilang terbabit tidak mencarum pekerja terlibat sehinggalah mangsa terlibat dalam kemalangan tempoh hari dan apabila berlaku sahaja kemalangan barulah mereka membuat caruman.
"Difahamkan juga ekoran kejadian itu, Perkeso akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang terbabit,” katanya sewaktu melakukan lawatan terhadap mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka di sini, hari ini.
Hadir sama wakil Perkeso, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Sementara itu, Mohd Rafiq turut mendedahkan menerusi siasatan pihak JKKP, kilang terbabit yang mengeluarkan komponen peralatan elektrik turut didakwa gagal mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan dan bakal dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya selaku Exco terlibat ingin menasihatkan semua majikan supaya mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan setiap pekerja terutama di sektor perindustrian.
"Selain itu, majikan mesti menjaga kebajikan pekerja termasuk membuat caruman di Perkeso bagi mengelakkan kejadian seperti yang berlaku terhadap kes ini,” katanya.
Pada 13 Mac lalu melaporkan kakak kepada mangsa kesal, apabila majikan bersikap lepas tangan dalam kejadian kemalangan di tempat kerja yang menimpa adiknya sehingga mangsa mengalami kritikal selepas melecur 52 peratus anggota badan dan terpaksa menerima rawatan di ICU, Hospital Melaka.
Kakaknya Rosilawati Mat Ail, 37, mendakwa kemalangan itu berpunca ekoran satu kebakaran kecil sehingga mengakibatkan percikan api menyambar adiknya yang ketika itu sedang melakukan kerja membersihkan peralatan.
Mangsa kini sudah 17 hari dirawat di ICU dilaporkan kritikal kerana melecur pada kedua anggota kaki sehingga ke paras paha, kedua anggota tangan dan sebahagian anggota badan serta menjejaskan saluran pernafasannya.
Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Fadhilah Hamil ketika dihubungi memaklumkan siasatan yang dijalankan mendapati majikan terbabit juga didapati gagal membayar caruman terhadap kesemua pekerja mereka bagi tempoh Julai 2018 hingga Jan 2019.
"Hasil siasatan juga mendapati majikan lewat mendaftar pekerja ini kerana hanya mendaftar pekerja dan bayar tunggakan caruman pada 11 Mac lalu sedangkan dia diambil bekerja mulai 17 Disember tahun lalu.
"Kelewatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Justeru itu, Perkeso akan mencadangkan agar majikan itu didakwa kerana gagal membayar caruman dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya..
Menurutnya, jika sabit kesalahan, majikan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 iaitu penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau keduanya. Majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar di bawah Seksyen 14A, Akta 4
"Perkeso juga akan menimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 48, Akta 4, bagi menuntut dua kali ganda jumlah caruman yang majikan mungkir atau cuai membayar caruman mengikut kadar yang sepatutnya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kesal majikan bersikap lepas tangan