Beri sepenuh tumpuan atas padang

Iklan
Pemain Harimau Malaya akan berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020, pada Ahad.

PARA pemain Harimau Malaya diingatkan untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada persiapan menentang Indonesia menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura pada Ahad ini.

Itu ingatan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang tidak mahu anak-anak buahnya terpengaruh dengan pelbagai andaian dan provokasi dalam kalangan media republik tersebut yang akan menjejas misi negara dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

Malah menurut pengendali berusia 53 tahun itu, segala andaian dan provokasi berkenaan adalah perkara yang berlaku di luar padang yang berada di luar kawalan para pemain.

"Saya percaya pengalaman dalam perlawanan lalu ketika menentang Indonesia sentiasa ada pelbagai andaian dan provokasi dalam kalangan media mereka.

Iklan

"Tetapi saya beritahu para pemain supaya hanya berikan sepenuh tumpuan kepada perlawanan di atas padang dengan Indonesia.

"Perkara-perkara di luar padang adalah di luar kawalan kita, jadi kita hanya perlu fokus kepada perlawanan bagi merealisasikan misi pasukan,” katanya pada sidang media dalam talian pada Rabu.

Iklan

Untuk rekod kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada saingan Piala Suzuki AFF adalah edisi 2012 lalu pada aksi peringkat kumpulan yang menyaksikan skuad negara menang 2-0 hasil jaringan Azamuddin Akil dan Mahalli Jasuli di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas lanjut Cheng Hoe berkata, pihaknya akan menjadikan aksi Indonesia berdepan Vietnam sebagai panduan bagi menilai sejauh mana kekuatan skuad Garuda berkenaan.

"Kali ini Indonesia agak berbeza dengan pemain dan juga dan corak permainan mereka apabila mereka menurunkan ramai pemain muda yang bermotivasi, pantas, bersemangat selain fokus terhadap perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mengesahkan tiga pemain Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng mula menyertai latihan bersama pasukan pada Rabu setelah selesai menjalani kuarantin selama 10 hari akibat disahkan positif Covid-19.

"Walaupun semasa tempoh kuarantin, kita tetap memantau tahap kecergasan mereka menerusi latihan dalam talian yang dilakukan secara individu.

"Namun latihan secara individu pasti berbeza dengan latihan bersama pasukan kerana ia akan menjadikan pemain lebih bermotivasi kerana dapat berlatih dalam keadaan yang terbaik,” katanya.