Banyak inisiatif diperkenalkan agar belia dapat nikmati kehidupan lebih baik
SHAH ALAM – Golongan belia tidak pernah tercicir daripada mendapat manfaat menerusi bajet yang diperuntukkan kerajaan saban tahun.
Tidak ketinggalan bagi Bajet 2022, malah lebih banyak insentif disediakan untuk terus memperkasakan golongan ini.
Biarpun tidak disenaraikan di bawah satu fokus khas, golongan belia dilihat boleh menikmati manfaat daripada insentif-insentif yang diperkenal secara langsung dan tidak langsung khususnya bagi belia daripada golongan B40.
Paling utama adalah komitmen kerajaan menerusi insentif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang menjanjikan 600,000 peluang pekerjaan menerusi peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
Selain itu, sebanyak RM450 juta di bawah PerantiSiswa disediakan untuk pemberian tablet kepada mahasiswa B40 yang bakal memanfaatkan 600,000 pelajar untuk memastikan proses pengajian mereka tidak terjejas.
Selain itu, di bawah e-Start, sejumlah 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun bakal menerima RM150 bayaran kepada e-dompet mereka bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai.
Terdapat banyak lagi inisiatif lain yang memberi harapan besar kepada golongan belia demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk jangka panjang.
REAKSI:
"Saya harap kerajaan dapat wujudkan satu dasar yang tidak menyebabkan jurang kehidupan rakyat terlalu jauh antara satu sama lain. Perkara ini perlu diatasi agar golongan muda dapat menguruskan kehidupan dengan lebih baik khususnya dalam soal pemilikan hartanah." Siti Hazirah Abu Bakar, 30 pekerja swasta.
"Saya mahu taraf hidup belia pada masa hadapan terjamin seiring dengan kestabilan ekonomi dan politik negara. Oleh itu, peranan belia dalam menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan sosioekonomi dan politik perlu dititikberatkan dalam agenda kemajuan negara." Muhammad Aniq Ismaq Anuar, 24, pelajar IPTA
"Saya harap lebih banyak peluang pekerjaan disediakan. Wujudkan kembali program On Job Training seperti SL1M buat para graduan universiti. Seterusnya diserapkan terus ke syarikat tersebut." Muhammad Yusri Abdul Ghani, 27, pegawai khidmat pelanggan
"Harapan saya untuk masa depan belia agar lebih terjamin dengan pelbagai sumber pendapatan supaya mereka dapat kekalkan generasi yang berdisiplin, aktif dan progresif. Bantuan amat diperlukan oleh belia ialah tempat tinggal yang mampu dimiliki mereka." Nooraimi Huda Abdullah, 24, suri rumah
"Saya harap belia mempunyai daya saing yang lebih sihat tanpa kaitkan politik dengan kerjaya belia. Kerajaan wajar wujudkan bantuan dalam bentuk program latihan asas yang merangkumi aspek kemahiran komunikasi, pengurusan kewangan dan asas perniagaan." Nur Arissa Muzaffar, 24, Eksekutif akaun
"Sudah sampai masa belia diberi peluang pekerjaan yang mempunyai gaji permulaan yang setimpal dengan kelayakan. Jadi kerajaan perlu bantu belia dari segi membuat penyelarasan semula gaji minima dengan segera." Muhammad Afiq Mohd Sayid Nasir, 25, Graduan IPTA
"Kerajaan perlu sediakan peruntukan dengan beri keutamaan bagi pelajar pengajian tinggi demi menjamin masa depan belia. Bantuan yang diinginkan sebenarnya, selain bantuan tunai, adalah jaminan peluang pekerjaan." Muhamad Fitri Kamis, 28, pekerja swasta
"Saya harap belia mempunyai masa depan lebih baik dengan peluang pekerjaan yang lebih banyak terutamanya untuk para graduan mendapat pengalaman. Selain bantuan kewangan, penting untuk kerajaan bantu menyediakan pekerjaan yang sejajar dengan taraf hidup masa kini." Nur Syaza Wani binti Rafidi, 23, pelajar IPT
"Belia amat memerlukan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan terjamin. Pada masa sama, kerajaan juga perlu bantu belia menjana pendapatan sendiri dengan menyediakan kursus-kursus kemahiran mengikut keperluan masa kini." Mohd Amsyar Johari, 28, pengusaha biskut mazola dan kerepek ubi.
"Saya harap kadar gaji minimum dapat dinaikkan lagi. Untuk perbelanjaan makan dan minum mungkin bukan masalah, tapi keperluan lain untuk jangka masa panjang seperti kemampuan memiliki rumah itu lebih penting." Muhammad Fais Nasir, 24, pekerja swasta