Selenggara jalan persekutuan tidak dianaktirikan

Iklan
Mohd Zolkafl ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak.

IPOH - Kerajaan negeri akan bangkitkan isu penyelenggaraan jalan persekutuan terutama di kawasan luar bandar ke peringkat Kementerian Kerja Raya untuk dilaksanakan tahun hadapan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya mengakui ada jalan persekutuan yang tertinggal dalam pelaksanaan kerja-kerja itu berikutan hanya RM800 juta diperuntukkan kerajaan untuk seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Pihak kerajaan tidak menganak tirikan mana-mana daerah sama ada Perak atau dalam negara tetapi oleh kerana pandemik Covid-19 berlaku hampir dua tahun.

"Saya maklumkan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan hanya RM800 juta diperuntukkan kerajaan untuk jalan-jalan seluruh negara, sudah tentu jalan-jalan persekutuan di Perak ada tertinggal tetapi tidaklah dianaktirikan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Air Kuning) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, perkara itu akan menjadi keutamaan kepada Jabatan Kerja Raya negeri untuk dilaksanakan pada tahun 2022.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, tiga jambatan di Laluan Negeri A164 daripada Sayong ke Tanjung Belanja masih di peringkat perancangan dan akan diangkat semula bagi kelulusan pelaksanaan pada tahun 2022.

Iklan

"Dua jambatan lain yang turut disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Jambatan Menora telah siap pada Ogos lalu dengan kos RM3.3 juta manakala Jambatan Cermin siap pada November 2017 dengan kos sebanyak RM3.1 juta.

"Jambatan Bekor, Jambatan Teruan dan Jambatan Sungai Senggang masih di peringkat perancangan dengan anggaran kos masing-masing RM5 juta," katanya bagi menjawab soalan lisan daripada Datuk Maslin Sham Razman (BN- Bukit Chandan).

Katanya, jambatan di Sungai Senggang yang sempit dan jalannya berselekoh tajam perlu ditambah baik pada kadar segera.

"Pihak saya telah meminta pihak JKR Negeri untuk melihat perkara ini dan langkah-langkah penyelesaian jangka masa pendek perlu dilakukan segera bagi memastikan jalan tersebut selamat dan tidak membahayakan nyawa pengguna," katanya.