SHAH ALAM - Kumpulan Touch ‘n Go mengumumkan akan memberikan pengguna Touch ‘n Go eWallet laporan kredit MyCTOS percuma dengan CCRIS, sambil terus mempromosikan elemen pendidikan pengguna dalam konteks rangkuman kewangan.
Inisiatif pertama seumpamanya di industri itu terhasil melalui kerjasama strategik antara Touch ‘n Go eWallet dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Touch ‘n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, kerjasama itu juga akan menyaksikan CTOS menyertai ekosistem Touch ‘n Go eWallet melalui inisiatif program mininya.
Menurutnya, pengguna eWallet kini menerima akses kepada peralatan untuk memudahkan pemeriksaan kendiri kesihatan kredit dan mendapatkan artikel berunsur pendidikan mengenai kredit serta pelaporan kredit.
"Ia pertama di pasaran dan satu inisiatif memperkasakan semua warga Malaysia. Kami berharap dapat mendidik semua orang supaya memahami dan memiliki akses kepada kesihatan kredit sendiri. Ia adalah perlu khususnya di negara membangun dan ekonomi yang sedang berkembang.
"Kami amat berbesar hati kerana menemui rakan kongsi yang sehaluan dalam CTOS dan berharap agar individu mengakses kemudahan yang kami sediakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Effendy berkata, melalui inisiatif itu, pihaknya berharap orang ramai akan memahami bahawa topik laporan kredit dan penarafan kesihatan kredit menjadi kurang menakutkan, seterusnya menggunakannya sebagai platform untuk memahami ruang serta meningkatkan profil kredit individu mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, Eric Chin berkata, pada peringkat global, eWallet seperti Touch ‘n Go eWallet diterima pakai sebagai cara yang pantas dan mudah untuk pengguna menguruskan wang secara digital.
"Di CTOS, kami berhasrat untuk memastikan lebih ramai dengan peralatan serta pengetahuan betul untuk membuat keputusan kewangan yang baik dan menyemak laporan kredit MyCTOS sebagai langkah pertama dalam perjalanan itu.
"Perkongsian kami dengan Touch ‘n Go membolehkan 16 juta pengguna eWallet mengakses dan memahami kesihatan kredit mereka dengan mudah dan lancar,” katanya.
Butiran program baharu ini akan tersedia melalui aplikasi Touch 'n Go eWallet. Promosi laporan MyCTOS percuma dengan CCRIS ini akan ditawarkan sehingga 31 Januari 2022.
Untuk maklumat lanjut mengenai Touch ‘n Go, sila layari www.touchngo.com.my, manakala maklumat lanjut mengenai CTOS pula, sila layari www.ctoscredit.com.my