BACHOK - Polis Kelantan menegaskan video yang memaparkan seorang pelajar dibuli tiga rakannya itu adalah kejadian tahun lalu yang kembali tular di aplikasi WhatsApp pada Rabu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kes yang berlaku di Tanah Merah itu telah selesai dan kesemua pelaku sudah dikenakan tindakan.
"Sejujurnya saya terkejut apabila video itu kembali tular. Ia berkemungkinan selepas tularnya kejadian kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini," katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Prihatin Majlis Jaksa Pendamai Kelantan di Sudara Beach Resort, di sini pada Khamis.
Seramai 50 penerima yang terdiri daripada warga IPD Bachok dan asnaf setempat mendapat sumbangan barangan makanan dan wang tunai bagi meringankan beban mereka sepanjang musim pandemik Covid-19.
Hadir sama Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Datuk Mohd Riduan Junoh dan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang kes berkait dengan buli yang berlaku di Kelantan.
Rakaman video berdurasi 25 saat yang kembali tular sejak Rabu menunjukkan mangsa diserang tiga rakannya.
Sinar Harian pada 9 September tahun lalu melaporkan, seorang pelajar tingkatan satu diserang dan dipukul tiga pelajar tingkatan lima sekolah sama gara-gara tidak menunaikan 'janji' mahu belanja makanan segera.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 13 tahun dikatakan berada di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.