KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta menimbangkan kebenaran untuk meluluskan penanaman ketum serta hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan perubatan di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penggunaan ketum dan hem itu bukan sahaja baik untuk perubatan malah turut akan memberikan peluang pendapatan kepada rakyat.
"Saya bersama beberapa ahli Parlimen lain sedang menghimpunkan hasil kajian serta laporan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Racun Negara USM dan beberapa syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Laporan berkaitan ketum dan hem itu akan dihantar kepada Menteri Kesihatan dan Menteri Dalam Negeri untuk pertimbangan sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Forum Awam: Masa Depan Mampan Industri Perubatan, Kanabis, Hem dan Ketum di Malaysia pada Khamis.
Menurutnya, kelulusan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri diperlukan kerana penanaman hem dalam jumlah yang besar bertentangan dengan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, jika langkah itu tidak berhasil, satu rang undang-undang persendirian akan dikemukakan pada sesi Dewan Rakyat pada Mac tahun depan untuk mendesak agar kelulusan tersebut dapat diberikan.
Mengulas lanjut, Zahidi turut percaya penanaman ketum dan hem akan memberikan banyak manfaat terutama kepada ekonomi negara.
"Akibat Covid-19, seramai 800,000 orang hilang pekerjaan dan pada masa depan apabila moratorium habis, ramai lagi yang akan muflis.
"Kalau nak ekonomi kita bergerak ke hadapan salah satunya adalah melalui penanaman ketum dan hem kerana nilai pasaran akan mencecah RM250 bilion di seluruh dunia.
"Malah, negara yang keluarkan hem ini hanya tiga negara sahaja iaitu China, Perancis dan Chile.
"Malaysia mempunyai peluang yang terbaik kerana kajian antarabangsa menyatakan tanah kita adalah terbaik untuk penanaman ketum dan hem," jelasnya.