Kos operasi KDA FC tidak melebihi RM22 juta tahun 2022

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.

PERBELANJAAN pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim hadapan dilihat semakin berhemah apabila mensasarkan tidak melebihi RM22 juta dibelanjakan berbanding RM30 juta pada musim 2021.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penjimatan sehingga RM8 juta tersebut dapat dilakukan selepas beberapa pemain yang menerima gaji tinggi sebelum ini tidak lagi bersama skuad Hijau Kuning pada musim 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kos operasi yang tinggi dan ditanggung oleh pengurusan KDA FC sebelum ini adalah disebabkan penetapan gaji pemain yang begitu tinggi.

"Kita terpaksa berhutang dan tidak mampu bayar disebabkan oleh gaji pemain yang tinggi, begitu juga dengan sebelum ini.

Iklan

"Saya difahamkan terdapat pasukan yang berbelanja tidak lebih RM12 juta atau RM13 juta tetapi masih mempunyai kedudukan yang baik dalam Liga Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46 di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, gaji tinggi yang ditetapkan oleh beberapa pasukan telah menjadi ikutan dalam Liga Malaysia dan akhirnya membebankan pasukan itu sendiri.

Sementara itu, Khamal Idris berkata, pengurangan kos pasukan tersebut tidak bermaksud kualiti yang akan ditonjolkan oleh KDA FC pada musim hadapan juga akan menurun.

Jelasnya, kebanyakan pemain-pemain muda yang telah dibawa masuk merupakan tonggak utama pasukan masing-masing pada musim ini dan telah menunjukkan prestasi yang konsisten dalam saingan Liga Super.

"Jika kita kehilangan beberapa pemain yang berhijrah namun kita berjaya mendapatkan khidmat empat hingga lima pemain baharu yang sedang meningkat naik. Mereka ini boleh mengisi kelompangan yang berada dalam pasukan.

"Saya percaya keadaan ini tidak menjejaskan prestasi semasa malah pasukan akan lebih bertenaga kerana bakal menggunakan khidmat pemain muda yang turut mempunyai pengalaman luas bersama pasukan mereka sebelum ini," ujarnya.

Mengulas khidmat lima pemain import baharu musim hadapan, Khamal yakin kehadiran mereka nanti mampu membantu pasukan memberi saingan yang terbaik sehingga mara ke pentas Piala AFC kerana mempunyai pengalaman dan pernah beraksi di pentas tersebut bersama pasukan lain sebelum ini.