KOTA BHARU - Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan termasuk merompak seorang remaja lelaki serta melarikan motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebaga Y-Suku milik mangsa selain memiliki pistol, peluru dan keris.
Bgaaimanapun, tertuduh, Mohamad Ridzuan Hussin, 26, tidak mengaku salah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak secara berkumpulan ke atas seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dengan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, telefon bimbit jenama Vivo, wang tunai berjumlah RM50, lesen memandu dan kad pengenalan milik mangsa.
Rompakan didakwa berlaku di tepi jalan raya Kampung Pangkal Gong, Pulai Chondong, Machang, pada jam 6.15 petang, 29 Oktober lalu dan semasa rompakan itu, tertuduh didakwa bersenjatakan sepucuk pistol.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 396/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohamad Ridzuan turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol jenis Revolver.38 Special Ctg Heavy Barrel, Smith & Wesson, memiliki enam peluru dan memiliki sebilah keris di dalam sebuah kereta jenis Proton Pesona di tepi tali air Kampung Keting, Gunong Bachok pada jam 1.30 pagi, 2 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Abu Arsalnaa tidak mencadangkan jaminan terhadap Mohamad Ridzuan memandangkan pertuduhan yang dihadapinya serius.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.