Lebih 1.2 juta pengundi tentukan kerajaan baharu Sarawak Sabtu ini

Iklan
Kerja-kerja sanitasi dilakukan setiap satu jam di Pusat Pengundian pada hari mengundi awal PRN Sarawak Ke- 12 di Kem RASCOM Markas 9 Briged, Sibu hari ini. -Foto Bernama

KUCHING - Perhatian akan tertumpu kepada Bumi Kenyalang untuk melihat gabungan parti politik mana yang bakal menerajui kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang selepas persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berakhir dengan pusat pengundian ditutup pada 5 petang Sabtu ini.

Fokus akan beralih kepada sejumlah 1,951 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 3,666 saluran di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja tempoh kempen berakhir pada 11.59 malam esok dan pengundi di Sarawak bakal menjadi penentu nasib 349 calon yang bertanding.

Iklan
Iklan

Daripada 1,252,014 pemilih berdaftar bagi PRN itu, sebanyak 1,213,769 pengundi biasa dijangka keluar mengundi Sabtu ini manakala 89 peratus atau 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 14 Dis dan 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Bergantung kepada jumlah pengundi, beberapa PDM seperti Tadika Kemas Kampung Soh di bawah DUN Muara Tuang yang hanya mempunyai 97 pengundi akan ditutup seawal 12 tengah hari manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh menjelang 12 tengah malam.

Iklan

Bagi proses pengundian, SPR telah menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kesihatan rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 di samping menangani tuntutan demokrasi.

Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, menyaring suhu badan dan mengimbas kod respons pantas (QR) aplikasi mudah alih MySejahtera sebelum memasuki pusat mengundi.

Iklan
Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Nor Fazilah Ahmad menyusun kit peralatan mengundi untuk diagihkan ke pusat mengundi di seluruh negeri Sarawak. -Foto Bernama

Pengundi juga dinasihat menyemak maklumat pengundian masing-masing melalui aplikasi mySPR Semak atau portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ sebelum keluar mengundi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi hari pengundian.

Bagaimanapun, ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang di beberapa bahagian termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Hujan turut diramal di Kapit dan Bintulu pada sebelah petang manakala suhu sepanjang hari dijangka antara 24 hingga 34 darjah Celsius.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan calon yang bertanding, 87.1 peratus atau 304 adalah lelaki dan bakinya wanita manakala 47 calon berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun, 56 calon (41-50 tahun), 119 calon (51-60 tahun), 117 calon (61-70 tahun) dan 10 calon (71 tahun ke atas).-- Bernama