Sidang Dewan Rakyat ditambah sehari bagi bincang Akta 342

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir Khamis ditambah sehari pada Isnin ini (20 Disember) bagi membolehkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 dibincang dan diputuskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam pemaklumannya berkata, penambahan sidang itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis selaras Peraturan Mesyuarat 11 (2) Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Peraturan Mesyuarat 11 (2) menyatakan, antaranya Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu, tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua pada Khamis.

Iklan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kemudian bangkit dan memaklumkan rang undang-undang berkenaan bagi bacaan kali kedua dan ketiga ditangguhkan pada Isnin berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat 62 menyatakan:"Ahli yang menjaga sesuatu rang undang-undang boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik rang undang-undang itu, atau hendak menangguhkan peringkat satu lagi rang undang-undang itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai pada perkara rang undang-undang itu dalam Aturan Urusan Mesyuarat”.

Iklan

Dalam pada itu, pemakluman Azhar berhubung perkara berkenaan mengundang pertikaian beberapa ahli Parlimen, antaranya Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang berkata, keputusan berkenaan mengganggu program ahli Parlimen yang telah diatur.

"Kami ahli Parlimen dah atur program pergerakan peribadi kami, program di kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat, tiba-tiba berlaku sebegini, ini satu perkara yang saya kesal. apa salahnya kalau tangguh, dibawa rang undang-undang ini ke sidang akan datang?” soalnya.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kemudian bangkit menjelaskan penangguhan perbahasan rang undang-undang berkenaan dibuat bukan berdasarkan satu pihak sahaja, malah telah dipersetujui dalam sesi libat urus yang diadakan pada pagi Khamis.

"Sepanjang pagi dari tengah hari tadi memang ada proses libat urus yang melibatkan Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pimpinan parti, kemudiannya merujuk kepada Perdana Menteri tentang keperluan untuk menangguh bagi memberi ruang perbincangan dengan semua pihak.

"Ini supaya jawatankuasa (pemilih) atau ‘select committee’ dapat bersidang sebelum dikemukakan beberapa cadangan pindaan yang lain. Ini disebabkan pandangan kita tentang beberapa peruntukan harus dipinda secara total (menyeluruh) terutama melibatkan kompaun," katanya.

Justeru, beliau berkata, Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan bersidang membincangkan mengenai pindaan Akta 342 pada 8 pagi Isnin ini, sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula 10 pagi hari sama.

"Sekiranya semua hal penting disepakati, maka kita mungkin menimbangkan untuk menyokong dan kalau beberapa perkara substantif itu tidak dipersetujui, kita masih ada ruang untuk membangkang atau menolak usul itu.

Jadi, saya nak jelaskan saya ambil kesempatan ini bahawa ini bukan keputusan sebelah pihak setelah ambil pendirian untuk mempertikai beberapa peruntukan yang (hendak) dipinda," katanya.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan. - Bernama