PENYERANG Harimau Malaya, Syafiq Ahmad menyatakan hasrat untuk kembali bergabung dengan skuad Hijau Kuning pada musim 2022 dan kini hanya menunggu persetujuan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali berkata, pihaknya bersedia menerima pemain tersebut selepas JDT mengumumkan Syafiq antara pemain yang akan dipinjamkan kepada pasukan yang beraksi di pentas Piala AFC musim hadapan.
Menurutnya, kehadiran Syafiq mampu memberikan nilai tambah kepada jentera serangan pasukannya setelah pasukan kehilangan dua penggempur import sensasi, Kpah Sherman dan Tcheche Kipre.
"Syafiq ada menyuarakan hasrat untuk kembali ke Darul Aman dan KDA FC juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
"Namun kata putus kini terletak kepada pengurusan JDT dan kami berharap mereka membenarkan pemain tersebut untuk beraksi bersama kami bagi saingan musim hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.
Sebelum itu, Khamal Idris menyertai Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempengerusikan Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46.
Khamal Idris berkata, Syafiq yang merupakan produk kelahiran KFA sebelum berhijrah ke JDT pada tahun 2017 mampu memberi nilai tambah kepada jentera serangan pasukannya.
Pada Selasa, Pengarah Sukan Bolasepak JDT, Martin Prest dalam kenyataan rasmi menyatakan Syafiq antara pemain yang akan dipinjamkan ke pasukan lain pada musim hadapan.
Pasukan tersebut difahamkan beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan sama ada Kuala Lumpur City (KL City) ataupun KDA FC.