SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) lain sekali lagi menyatakan pendirian tegas untuk membantah pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Beliau berkata, pihaknya turut menerima memorandum bantahan keras berhubung akta berkenaan daripada gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.
"Pagi ini saya bersama beberapa ahli Parlimen lain termasuk mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah menerima memorandum dari gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.
"Mereka hadir bagi menyatakan pendirian tegas serta bantahan keras terhadap rencana kerajaan berhubung langkah melawan wabak menerusi pindaan pada Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
"Kami ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menyokong pindaan ini tatkala rakyat mahu dibuli dan ditekan oleh pemerintah,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan lima peruntukan baharu terhadap Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.
Ia merangkumi 10 seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan pandemik Covid-19 di negara ini.