Dua lelaki ditahan disyaki terlibat sindiket curi Hilux

Iklan
Antara peralatan yang turut dirampas dalam serbuan tersebut. - Foto ihsan Polis Negeri Sembilan

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket curi kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang berlaku di sini awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, dalam serbuan pada Selasa lalu jam 11.30 malam sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan telah berjaya menahan dua lelaki berumur 47 dan 56 tahun, di Taman Perumahan kawasan Asahan, Melaka.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu pihak polis telah menjumpai sebuah kenderaan dan pelbagai jenis peralatan yang digunakan oleh suspek untuk mencuri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux seperti empat unit ECU Toyota Hilux yang telah diubahsuai, mesin 'grinder', mesin 'cordless', pemotong wayar dan pelbagai peralatan lain.

"Kenderaan yang dicuri kebiasaannya untuk pasaran luar negara. Setakat ini kedua-dua suspek masih ditahan reman mulai Rabu sehingga Jumaat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit, pihak polis Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan dua kes curi Hilux yang berlaku di negeri ini pada awal bulan ini.

"Kami tidak menolak kemungkinan kumpulan ini juga bergiat aktif melakukan kecurian di negeri- negeri yang lain, bagaimana pun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Iklan

"Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun atau dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan," katanya.