SHAH ALAM - Seramai 20 peserta menamatkan Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembangunan Inovatif untuk Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada Khamis.
Program kerjasama LZS bersama SIRIM Berhad ini bagi mempertingkatkan ekonomi serta taraf hidup, selain membangun dan mempertingkatkan tahap pembungkusan serta pelabelan usahawan asnaf.
Usaha itu juga bagi memastikan pembungkusan serta pelabelan peserta mengikut trend dan pasaran terkini bagi membolehkan perniagaan mereka berkembang maju dan berjaya menembusi pasaran baharu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, ia seterusnya membolehkan produk usahawan asnaf mempunyai keterampilan baharu lebih menarik untuk dipasarkan.
"Produk berdaya saing akan mudah menembusi pasaran baharu, seterusnya dapat membantu mempertingkatkan ekonomi serta taraf hidup usahawan asnaf sehingga mereka berjaya keluar daripada golongan penerima zakat kepada golongan pemberi zakat.
"Kesemua 20 orang usahawan asnaf bagi tahun 2020 dan 2021 dipilih untuk menyertai program ini dibiayai sepenuhnya oleh LZS," katanya pada Majlis Penyerahan dan Graduasi Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembangunan Inovatif untuk Usahawan Asnaf LZS di Pejabat SIRIM di sini pada Khamis.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.
Sementara itu, Salpolyazan berkata, terdapat peningkatan jualan secara purata sebanyak 60 peratus selepas menggunakan pembungkusan baharu berdasarkan audit pemantauan jualan dan premis ke atas usahawan asnaf bagi tahun 2020.
"LZS sentiasa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan ekonomi kepada usahawan asnaf. Ia menjadi keutamaan untuk memastikan inisiatif pembangunan ekonomi mampu memperkasakan keupayaan serta memacu kecemerlangan usahawan asnaf sehingga mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat," ujarnya.