KUALA LUMPUR - Industri insurans dan takaful menggesa semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 kategori isi rumah, bujang dan warga emas yang layak agar segera menebus Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM50 sebelum tempoh penebusan tamat pada 31 Disember ini.
Persatuan Insurans Hayat, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia dalam kenyataan bersama pada Khamis menggesa penerima BPR 2021 berkenaan menyemak kelayakan untuk menerima baucar RM50 melalui portal khas PTV di www.myptv.my.
Menurut kenyataan itu jika didapati layak, penerima BPR dinasihatkan melayari www.mycoverage.my untuk melihat ciri-ciri dan manfaat yang ditawarkan oleh produk Perlindungan Tenang di laman sesawang syarikat insurans atau pengendali takaful, seterusnya membuat pembelian pelan perlindungan mengikut keperluan penerima.
Program PTV dilancarkan pada 30 September lepas bagi membolehkan penerima BPR yang layak membeli atau menyertai pelan insurans atau takaful untuk melindungi diri, keluarga serta orang tersayang daripada risiko utama kehidupan seperti kematian, kemalangan, kebakaran dan lain-lain kejadian yang tidak diingini.
Sebagai alternatif, penerima juga boleh ke mana-mana cawangan syarikat insurans, pengendali takaful, ejen atau pengedar Perlindungan Tenang yang sah untuk menyemak kelayakan serta membeli atau menyertai produk yang diinginkan.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini, sebanyak 888,000 baucar telah ditebus oleh penerima BPR dengan jumlah perlindungan melebihi RM44 juta.
Sementara itu, menurutnya, nilai baucar PTV akan ditingkatkan dan penerima BPR yang layak akan diberi baucar baharu bernilai RM75 yang boleh digunakan untuk memperbaharui pelan Perlindungan Tenang bagi tempoh setahun lagi, atau membeli pelan Perlindungan Tenang yang baharu, atau membeli polisi insurans, atau takaful komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah bermula 1 Januari 2022.
Butir-butir lanjut mengenai baucar PTV 2022 ini akan diumumkan kemudian. - Bernama