KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis menegur pengurusan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disifatkan tidak memuaskan dan menggesa penambahbaikan dilakukan segera bagi memastikan program itu benar-benar mencapai matlamat asalnya.
Jawatankuasa itu antara lain mendapati pengurusan data dan dokumen peserta MM2H tidak diselenggarakan secara sistematik menyebabkan pemantauan terhadap aktiviti serta perbelanjaan peserta dan pemilikan aset tidak dapat disahkan.
"Selain itu, tiada rekod lengkap bagi mengenal pasti keseluruhan nilai hartanah yang dimiliki kesemua peserta MM2H.
"Data pemilikan hartanah hanya direkodkan sekiranya pembelian hartanah melibatkan penggunaan wang simpanan tetap (FD) yang terikat dengan pensyaratan program MM2H,” demikian menurut Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru, kerajaan disyorkan memperkasa peranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mempromosi program MM2H demi mencapai matlamat asal iaitu merangsang ekonomi negara dalam subsektor pelancongan seperti pendidikan, perubatan, hartanah dan industri automobil.
Langkah penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan program MM2H mampu menyumbang kepada hasil negara dan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara dalam pelbagai sektor, katanya.
Selain itu, Kementerian Dalam Negeri disaran mempertingkatkan sistem aplikasi penyimpanan maklumat yang lengkap khasnya dalam aspek pemantauan bilangan peserta mengikut kategori permohonan lanjutan dan permohonan baharu, aktiviti dan perbelanjaan peserta, pemilikan aset dan isu-isu lain.
"Dasar baharu program MM2H haruslah bersifat mesra pelanggan dan kompetitif berbanding dengan negara-negara jiran.
"Kriteria penyertaan haruslah lebih fleksibel mengikut kepelbagaian kumpulan peserta yang disasarkan. Sesi libat urus dengan kesemua pihak berkepentingan haruslah dipergiatkan sebelum dasar baharu dimuktamadkan,” katanya.
Sebanyak tiga mesyuarat prosiding berhubung program MM2H diadakan iaitu pada 24 November, 1 Disember dan 2 Disember dengan memanggil lima orang saksi iaitu Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Pengerusi Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew Yong Huat; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.- Bernama