SHAH ALAM – Tumbuhnya kanser korupsi dan kemunafikan dalam budaya politik Melayu Muslim berpunca daripada hilangnya rasa malu, kata sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.
Beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ia merupakan bahagian penting dalam sistem adab Islam dan Melayu.
"Kita tahu akhir-akhir ini ramai cendekiawan Melayu dan bukan Melayu, ulama dan umarak yang merasa amat kecewa dengan fonomena kehilangan etika dan akhlak mahmudah dalam budaya politik Melayu Islam.
"Ramai yang mengeluh, mencemuh, marah dan hilang kesabaran melihat keadaan politik tidak beretika berterusan menggoncangkan kestabilan negara sedangkan pandemik Covid-19 tidak kunjung padam yang mengakibatkan jutaan rakyat jatuh miskin dan keperitan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam forum khas bertajuk ‘Korupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam’ anjuran bersama Sinar Harian dan Emir Research yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.
Forum ini menampilkan empat ahli panel iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.
Mohd Kamal turut mengupas buku terbarunya bertajuk ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’ dan keempat-empat ahli panel terbabit turut mengulas mengenainya.
Mengulas lanjut, Mohd Kamal mendedahkan, beliau tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti akan menulis tentang politik di negara ini.
Katanya, terdapat tiga faktor yang mendorong dirinya untuk menulis tentang perkara terbabit.
"Yang pertama ialah keadaan korupsi dan kemunafikan politik bangsa Melayu Muslim yang amat memalukan dan menjijikkan. Ia sudah sampai ibarat penyakit kanser yang sudah berada di peringkat terminal.
"Faktor yang kedua sebagai sorang Muslim, kita bertanggungjawab kepada ALLAH SWT untuk menunaikan tanggungjawab ‘amar maaruf nahi mungkar’. Kemungkaran sudah bobrok terutama setelah meletupnya gunung berapi yang bernama 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya.
Jelasnya, skandal kleptokratik sebesar 1MDB sepatutnya menjadi tsunami politik yang akan merubah budaya, amalan politik dan parti Melayu.
"Tetapi malangnya ia tidak mencetuskan transformasi dalaman yang saya harap-harapkan. Akibatnya kemunafikan berterusan, fitnah memfitnah, tipu helah dan konspirasi menjadi satu kebiasaan baharu dan nilai malu yang sudah hilang dianggap tidak penting serta negara Malaysia dianggap oleh masyarakat antarabangsa sebagai antara yang paling korup di dunia.
"Saya bertambah malu dan di dalam hati terasa saya akan ditanya di hari pembalasan nanti apa yang telah kamu buat untuk mencegah kemungkaran seburuk dan yang telah berlaku selama berdekad-dekad itu.
"Yang ketiga, saya percaya jalan keluar daripada krisis yang amat parah ini memerlukan bukan sahaja reformasi politik dan perubahan-perubahan struktur dan undang-undang, tetapi transformasi akhlak dan budi pekerti berasaskan pandangan alam islami,” ujarnya.