SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan bahawa kepentingan institusi yang kukuh memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran negara diuruskan dengan adil dan saksama.
Ujar beliau, seandainya institusi-institusi gagal dikeluarkan dari kereputan korupsi, maka budaya korupsi akan berterusan berkembang dalam institusi tersebut.
"Tambahan kalau korupsi itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti, lalu saya kira ianya sangat mustahak.
"Contohnya kalaulah mahkamah tidak bebas, pendakwa raya tidak berani, tidak berlaku demokrasi yang saling berganti kerajaan saya kira persoalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan diketepikan seperti mana telah kita nampak bibit-bibit yang sangat mengkhuatirkan satu masa dahulu.
"Tetapi setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah hukuman penjara 12 tahun dan RM42 juta penyelewengan dana itu dan itu menunjukkan bahawa peranan institusi yang kukuh itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Khas: Korupsi Dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam melalui semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Forum berkenaan turut menampilkan tiga lagi panelis iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, proses semak dan imbang turut mempunyai peranan penting dalam dunia politik.
Menurutnya, firman ALLAH SWT telah menyebutkan jika manusia tidak saling semak dan imbang, maka seluruh alam dan negara akan musnah.
"Siapapun kerajaan, walaupun kami Pakatan Harapan (PH) hanya (menjadi kerajaan) 22 bulan tetapi kami telah cuba untuk mengislahkan insititusi dan dengan itu juga memulakan pendakwaan kepada ‘the heist of century’ (rompakan dalam kurun ini).
"Saya kira kita kena ada keberanian, sebab seperti yang disebut (dalam buku ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’) kerosakan akhlak pemimpin Melayu Islam sebenarnya adalah punca mulanya kereputan, kerapuhan dan kerosakan itu adalah daripada pemimpin,” ujarnya.