PROGRAM Podium di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) akan diteruskan untuk tahun hadapan, namun jumlah atlet terlibat akan dikurangkan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, pengurangan jumlah atlet terpaksa dibuat kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima peruntukan yang kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya, untuk melaksanakan program latihan sepenuh masa bagi atlet tempatan.
"Dengan apa yang kita ada, kita akan lakukan mengikut kemampuan kita, menyebabkan kita tidak dapat memberi latihan kepada lebih 400 atlet yang sedang berkampung di MSN.
"Jumlahnya (atlet) perlu dikurangkan dan kita perlu memilih mereka yang benar-benar ada potensi untuk merangkul kejuaraan dan membawa pulang pingat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Emas Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2021 di sini pada Khamis.
Ahmad Faizal berkata, meskipun atlet-atlet tertentu tidak akan berlatih di bawah MSN lagi, namun KBS akan sentiasa memantau keadaan mereka dari masa ke masa dan memastikan latihan akan terus dijalankan di bawah persatuan masing-masing.
"Dari masa ke masa kita akan adakan program latihan secara berkampung atau ‘centralised training’ macam sebulan, tapi bukan dalam masa jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sudah memulakan rundingan dengan para atlet yang perlu ‘dibebaskan’.
Ahmad Faizal berkata, KBS akan terus memikirkan cara untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi memastikan tidak ada atlet yang tertinggal untuk diberi latihan berkualiti tinggi.
"Kita akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami. Saya harap syarikat-syarikat swasta ini dapat ke depan bersama dengan kami.
"Pihak KBS dan MSN sentiasa mengalu-alukan jika ada penajaan daripada pihak swasta untuk kepentingan atlet kita,” katanya sambil menambah RM40 juta lagi diperlukan untuk meneruskan latihan-latihan dalam Program Podium seperti sebelum ini.
Program Podium diperkenalkan pada 2015 dengan objektif utama untuk meraih emas pertama di Olimpik Tokyo 2020, menduduki tangga sepuluh teratas di Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018 serta mempunyai 10 atlet yang menduduki ranking enam terbaik dunia.
Kontinjen Malaysia membawa pulang sebutir perak dan gangsa daripada Olimpik Tokyo 2020, menduduki tempat ke-12 di Komanwel Gold Coast dan kedudukan ke-14 di Sukan Asia Jakarta-Palembang.
Pada Rabu, media melaporkan pencapaian di kejohanan peringkat tertinggi merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MSN, untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun depan.
Ahmad Faizal dalam kenyataan itu berkata, seramai 288 atlet yang merupakan kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada kesemua temasya sukan berkenaan, akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, dalam pertemuan antara KBS dan lebih 40 persatuan belia pada Selasa lalu, kedua-dua pihak telah bersetuju secara konsensus untuk menetapkan tarikh baharu pelaksanaan Akta 668, melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.
"Di dalam perjumpaan tersebut, saya dah mendengar pandangan daripada mereka. Secara umumnya begitu besar jumlah pertubuhan yang menggesa agar pelaksanaan Akta 668 ini dapat ditangguhkan.
"Maka akibat kekangan masa untuk kita terus mengadakan libat urus, maka saya telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, KBS juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan persatuan-persatuan belia untuk menetapkan tarikh baharu pelaksanaan akta itu, dan memastikan situasi menang-menang untuk semua pihak.
Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan akta mengehadkan umur untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun akan bermula 1 Januari tahun depan.
Pada majlis ARPRM itu, seramai 77 belia menerima sijil pentauliahan ARPRM Tahap Emas.
Penerima Tahap Emas adalah belia yang berjaya menyempurnakan empat komponen ARPRM termasuk projek penempatan yang memerlukan mereka menggunakan pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan, dalam menyampaikan khidmat masyarakat kepada komuniti di luar kawasan penempatan mereka.
Program ARPRM telah bertapak di Malaysia sejak 1992 merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada ‘The Duke of Edinburgh's International Award’ dan tertumpu ke arah pembangunan potensi remaja khusus bagi umur 14 hingga 24 tahun.