Pakej berkenaan akan mengurangkan risiko kepada usahawan baharu yang mahu memulakan perniagaan selain menawarkan pulangan untung bersih sehingga RM500,000 setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, orang ramai boleh memulakan perniagaan francais GJC dengan modal serendah RM270,000 manakala perniagaan 1901 pula dengan pelaburan serendah RM45,000.
"Buat masa ini, kami mempunyai empat francaisi GJC yang sudah memiliki lebih daripada dua outlet.
"Beberapa francaisi juga mahu menambah bilangan cawangan outlet mereka pada tahun depan sekali gus menunjukkan perkembangan positif industri francais.
"Jika mahu tingkatkan pendapatan, mereka perlu menambahkan bilangan outlet. Ini telah terbukti apabila kami menambahkan cawangan francaisi kami,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Sasar 16 outlet
Mengulas lanjut, Mohd Hilaluddin memaklumkan GJC sudah mempunyai 42 outlet di seluruh negara dan bakal menambah sebanyak 16 lagi outlet baharu pada tahun 2022.
Malah, GJC juga telah melakukan pembaharuan imej sejajar dengan kehendak pelanggan masa kini dengan penggunaan warna yang terkini seperti hitam, putih dan oren.
"Penampilan yang dibawa kali ini lebih moden dan ringkas serta mampu menarik pelbagai golongan khususnya golongan muda ke outlet GJC,” katanya.
”Kami juga akan memulakan ‘pilot’ projek pandu lalu untuk GJC dengan lokasi pertama di stesen minyak di Lembah Klang yang akan dibuka pada tahun depan," katanya.
Selain menyediakan peluang francais, Pernas tidak ketinggalan dalam membantu usahawan dengan menyediakan pembiayaan kewangan kepada mereka.
Pernas menawarkan pembiayaan kepada para francaisi GJC sehingga 70 peratus manakala melalui projek Be Your Own Boss (BYOB) yang telah diperkenalkan Pernas pada tahun ini, bakal francaisi boleh menikmati pembiayaan sehingga 90 peratus.
"Untuk projek BYOB, kami membuka skim tersebut kepada golongan wanita serta belia dan ia adalah salah satu strategi untuk merealisasikan mandat Pernas dalam membangunkan sektor francais di Malaysia.
"Selain menawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus, kadar pembiayaan juga agak rendah sekitar 3.75 peratus berbanding 4.5 sehingga lima peratus,” jelasnya.
Memperkukuhkan jenama 1901
Produk makanan berasaskan sosej iaitu 1901 akan melebarkan sayap dengan lebih banyak outlet di seluruh negara pada tahun depan.
Jenama ini yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Pernas telah dikendalikan oleh anak syarikat baharu Pernas iaitu Big Nineteen Sdn Bhd (Big 19).
1901 kini melakukan ‘come back’ dengan 14 pilihan menu yang menepati cita rasa tempatan seperti New York Chicken, Chicago Beef, Texas Ted, Soaking Ted, Carbonara, Deutsche Doodle Dang, Coney, Mighty Mubarak Wrap, Mac n Cheese dan Stadium.
Sementara itu katanya, Pernas juga menawarkan beberapa pakej kepada usahawan yang berminat dengan peluang francais jenama itu yang akan mula dibuka pada pertengahan tahun 2022.
1901 menawarkan pakej permulaan untuk konsep ‘pushcart’ iaitu RM45,000 melibatkan kos peralatan yang berpatutan untuk perniagaan yang berdaya maju dan margin produk yang menarik.
"Bagi pakej kiosk dan peralatan pula, pakej yang ditawarkan bermula RM91,000. 1901 juga mempunyai promosi bulanan seperti potongan 19 peratus pada setiap tarikh 19 dan kami juga mempunyai perancangan untuk berkolaborasi bersama rakan strategik dalam masa terdekat bagi memperluaskan lagi rangkaian," katanya.
Beliau menjemput orang ramai yang berminat dengan produk GJC dan 1901 untuk mendapatkan maklumat lanjut di Menara Pernas, Bangsar South.
Mereka yang berminat boleh bertemu atau menghubungi pegawai-pegawai GJC dan 1901 untuk meneroka pakej mampu milik yang ditawarkan.
Kedua-dua pejabat bagi GJC dan 1901 terletak di Menara Pernas, Bangsar South.
INFO
Pakej francais GJC:
- Pakej mampu milik - ‘coffee cart’ atau pushcart - RM270,000
- Pakej kiosk - RM550,000
- Pakej lot kedai - RM770,000
Pakej 1901:
- Pakej pushcart dan peralatan - RM45,000
- Pakej kiosk dan peralatan - RM91,000