KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 ditangguhkan ke Isnin depan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Sewaktu bangkit membentangkan cadangan itu, Khairy berkata, penangguhan itu termasuk bacaan kali kedua, dan ketiga.
"Tuan Yang Dipertua, bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon mencadangkan (DR20/2021) Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 seperti tertera dalam nombor 2 dalam Aturan Mesyuarat..
".. dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga ke hari Isnin, 20 Disember, 2021," katanya.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan Dewan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis telah bersetuju untuk menambah satu hari lagi persidangan untuk Majlis Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen 2021, iaitu Isnin depan.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan RUU berkenaan dibentang dan diputuskan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Dewan Rakyat ditambah sehari bagi bincang Akta 342
Pindaan Akta 342 akan dimurnikan terlebih dahulu: Khairy
Pindaan Akta 342 dijangka ubah kadar denda, kompaun
Bagaimanapun beberapa Ahli Parlimen, termasuk Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), RSN Rayer (Jelutong), dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) bangkit membantah penangguhan itu, atas alasan mereka sudah mempunyai program di kawasan masing-masing.
"Kami terlepas banyak program di musim Parlimen ini. Saya kesal, apa salahnya tangguh dahulu RUU ini, kenapa nak gopoh. Bagi saya seolah-olah, macam buat di kedai mamak.
"Sekejap semalam kata bawa pindaan, turunkan denda RM1 juta kepada RM500,000. Hari ni nak tangguh perbincangan. Ini bukan kerajaan 90 peratus, kerajaan 9 peratus saja. Sangat memalukan. Fail, kerajaan gagal!” tegasnya lagi.
Namun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangkit meredakan suasana yang tegang dalam sidang tersebut dan memaklumkan penangguhan itu bukan keputusan Perdana Menteri seorang sahaja.
Beliau berkata, sejak tengah hari tadi telah berlaku program libat urus melibatkan Ahli-ahli Parlimen dengan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, di mana Blok Pembangkang telah mengambil pendekatan membantah beberapa peruntukan yang dirasakan tidak sesuai.
"Tentu ini disebabkan pandangan kita tentang peruntukan harus dipinda lebih total, lebih jelas, melibatkan kompaun bagi sebahagian besar rakyat.
"Oleh demikian, dalam rundingan itu, dipersetujui Jawatankuasa Pemilihan Parlimen akan sidang pada pukul 8 pagi, dan kita (Dewan Rakyat) bersidang 10 pagi. Sekiranya semua ini... hal-hal penting itu disepakati, kita mungkin timbang untuk menyokong.
"Tapi kalau perkara substantive itu tidak dipersetujui, kita masih ada ruang untuk membangkang, menolak usul ini,” katanya lagi.
Anwar berkata, beliau berdiri untuk memberi penjelasan bahawa penangguhan RUU dan penambahan satu hari itu bukan keputusan kerajaan semata-mata tetapi juga atas permintaan blok pembangkang.
Dalam sidang media hari ini, Khairy berkata, pindaan Akta 342 sebagai penting kerana akta akan menumpukan terhadap kesalahan berulang selain berdepan dengan ancaman gelombang Covid-19 varian Omicron.
Sehubungan itu, katanya, beliau dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan akan duduk bersama untuk memperhalusi garis panduan dan peraturan berhubung pindaan Akta 342 itu, pada minggu depan. - Awani