Pengawal keselamatan, pemandu lori didakwa culik, bunuh

Iklan
Gambar hiasan

PORT DICKSON - Seorang pengawal keselamatan dan pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang juruteknik serta menyamar sebagai anggota polis, bulan lepas.

Tertuduh, A Devadas, 41, dan P Xavier, 42, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret V. Vanita.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh dan ikat jamin juga tidak dibenarkan.

Mengikut pertuduhan pertama, Devadas dan Xavier bersama-sama dua individu yang telah dituduh dan seorang yang masih bebas didakwa membunuh A. Vasudevan, 39, di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut, di sini, antara pukul 5.40 pagi hingga 9.45 pagi pada 13 November lepas.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh juga bersama tiga individu itu didakwa melarikan Vasudevan dengan tujuan dia dibunuh pada masa dan lokasi sama mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan.

Iklan

Bagi pertuduhan ketiga, mereka bersama-sama tiga individu itu dituduh menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis pada isteri mangsa, S Hindumathy, 38, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nur Athirah Zainuddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Sukhdev Singh.

Mengikut laporan media, tertuduh dipercayai menyamar sebagai anggota polis telah berkunjung ke rumah mangsa dan memaklumkan kedatangan mereka untuk siasatan kes samun dan seterusnya meminta isteri mangsa mengeluarkan barangan kemas hasil daripada samun dilakukan oleh suaminya.

Mereka dipercayai mengarahkan mangsa mengikut mereka dengan menaiki sebuah van di hadapan rumah namun, mangsa enggan menyebabkan tertuduh memukul dan mengheretnya ke dalam van sebelum dilarikan.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 4.30 petang hari sama. - Bernama