Isu PPR Taman Manggis selesai

Iklan
Jagdeep (tengah) bersama Kon Yeow (kanan) pada sidang media yang diadakan.

GEORGETOWN- Isu penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis dianggap selesai selepas penyewa yang terlibat bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan negeri bagi memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah di negeri ini.

Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, keputusan itu dicapai dalam perbincangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dengan penyewa yang terbabit semalam tanpa melibatkan pihak ketiga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua keluarga bersetuju untuk menerima rumah kos rendah melalui skim sewa beli manakala satu keluarga akan membeli rumah kos sederhana rendah.

"Dalam perbincangan yang dilakukan semalam, dua keluarga bersetuju untuk menerima tawaran rumah kos rendah melalui skim sewa beli iaitu dengan harga rumah bernilai RM42,000 dan kerajaan negeri tidak akan mengenakan kadar faedah langsung kepada mereka selain tempoh sewa beli yang diberikan selama 20 tahun.

Iklan

"Satu keluarga lagi memilih untuk membeli rumah kos sederhana rendah yang terletak dalam daerah Timur Laut dan berharga RM72,500,"katanya pada sidang media di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan Exco kerajaan negeri.

Iklan

Jagdeep berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada tiga keluarga lain yang diusir sebelum ini namun mereka tiada pada perbincangan yang diadakan semalam.

Menurutnya, keputusan yang dicapai ini bukan sahaja dapat menyelesaikan polemik yang timbul malah ia sekaligus menaik taraf mereka yang terlibat daripada tinggal di PPR ke rumah kos rendah yang akhirnya unit kediaman itu akan menjadi milik mereka sepenuhnya.

Beliau turut mengingatkan kepada penyewa unit PPR yang telah hilang kelayakan atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan supaya tampil berbincang dengan kerajaan negeri secara sukarela bagi mencari alternatif dalam menyelesaikan isu perumahan ini.

"Hilang kelayakan untuk menghuni PPR tidak semestinya mereka hilang segalanya malah mereka masih boleh memohon untuk kategori lain dan kita akan berikan keutamaan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 22 penyewa PPR Taman Manggis diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka selepas dikatakan telah hilang kelayakan untuk menghuni rumah berkenaan.

Semuanya disebabkan ada di antara mereka yang mempunyai pendapatan yang melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Berdasarkan konsep PPR, penyewa dibenarkan mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan iaitu selama lima tahun sahaja.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, matlamat untuk mengambil balik 22 unit rumah PPR daripada penyewa sebelum ini telah tercapai dan ia memberi peluang kepada pemohon lain untuk tinggal di perumahan berkenaan.

Katanya, sehingga kini terdapat 1,127 pemohon dalam senarai menunggu dan ada di antara mereka yang telah membuat permohonan lebih 10 tahun lalu.