PRN Sarawak: 1,866 pusat mengundi dibuka

Iklan
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak membawa peti undi ke tempat saluran mengundi N.05 Demak Laut di Sekolah Kebangsaan Beradek dekat sini, hari ini menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok. - Foto Bernama

KUCHING - Sebanyak 1,866 pusat mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka untuk pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 46,565 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

Iklan
Iklan

"Seramai 1,213,769 pengundi bakal mengundi di PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pengundi yang hadir ke pusat mengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Iklan

"Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dengan pengundi perlu melalui empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran sebelum keluar dari pusat mengundi.

"Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi," katanya.

Iklan

Ikmalrudin juga berkata, pengundi bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan individu terbabit akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

"Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi," katanya.

Beliau turut menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi esok agar tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa bahan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding.

Selain itu, apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat mengundi.

Ikmalrudin berkata, petugas SPR sudah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.

"Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi," katanya.

Beliau menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR itu turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.

"Mana-Mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntuk hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan," katanya. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my