Pendakwaan akan panggil dua saksi bicara kes Shafee tahun depan

Iklan
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, setelah menghadiri perbicaraan berhubung dua pertuduhan yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak dan pertuduhan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memanggil dua lagi saksi sebelum menutup kesnya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Hamid ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Dua saksi yang akan dipanggil adalah pegawai dari LHDN dan pegawai penyiasat kes,” katanya.

Setakat ini, enam saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lepas.

Iklan

Hakim Muhammad Jamil sebelum ini menetapkan 10, 15 dan 22 Februari serta 1, 28 dan 29 Mac tahun depan untuk sambung bicara kes tersebut.

Afzainizam berkata, mahkamah menetapkan tarikh baharu itu berikutan perbicaraan kes yang sepatutnya berlangsung pada 10 Disember lepas terpaksa ditangguhkan kerana Muhammad Shafee dan peguamnya Harvinderjit Singh dikuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada anak Muhammad Shafee, Muhammad Farhan yang disahkan positif Covid-19.

Iklan

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. - Bernama