Perak lulus Bajet 2022 RM1.1 bilion

Iklan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi penggulungan perbahasan belanjawan selama dua jam menjawab pelbagai soalan dikemukakan ADUN.

IPOH - Belanjawan 2022 Perak berjumlah RM1.1 bilion diluluskan sebulat suara selepas dibentang dan dibahas selama enam hari sempena Persidangan Keenam, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Jumaat.

Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2022 itu mendapat sokongan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa sebarang bantahan.

Iklan
Iklan

Sepanjang perbahasan selama tiga hari bermula pada Isnin, 42 ADUN berbahas iaitu masing-masing 18 mewakili kerajaan, 23 pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi penggulungan perbahasan belanjawan selama dua jam menjawab pelbagai soalan dikemukakan ADUN.

Iklan

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebelum itu mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.

59 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.

Iklan

Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.

Ketika sesi penggulungan itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan melakukan semakan belanjawan selepas suku tahun kedua 2022.

Menurutnya, pembentangan bajet tambahan akan dibentangkan jika kedudukan kewangan negeri menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau berkata, kerajaan mengambil ketetapan bahawa Belanjawan 2022 perlu realistik dengan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.

"Saya sebagai menteri besar boleh memilih untuk mengambil pendekatan populis dengan meminta peruntukan ditambah RM50 juta, RM100 juta atau RM200 juta supaya belanjawan ini dilihat besar dan kerajaan mungkin menjadi popular.

"Tetapi apalah gunanya menjadi popular jika kita akhirnya melonggokkan hutang yang terpaksa ditanggung oleh anak cucu cicit kita di kemudian hari," katanya.

Pada 10 Disember lalu, kerajaan Perak mengumumkan Bajet 2022 berjumlah RM1.1 bilion di bawah tema yang sama pada tahun lalu iaitu Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif.

Peruntukan belanjawan tersebut mengalami penyusutan berbanding tahun lalu sebanyak RM1.215 bilion.

Peruntukan Bajet Negeri 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan RM302 juta.

Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan.

Kerajaan negeri menetapkan lima fokus utama dalam belanjawan kali ini iaitu menjana semula ekonomi dan mengupayakan sara diri rakyat, memakmur dan mensejahterakan rakyat, mengukuhkan modal insan dan pembangunan sosial, memantapkan tadbir urus dan pendigitalan dan serta memulihara khazanah alam sekitar.