Cadangan PH-PN bekerjasama dalam PRU15 bukan tindakan bijak

Iklan
Ahmad Faizal (tengah) dan Wan Saiful (kanan) pada sidang akhbar khas mengenai PAT Bersatu, di sini pada Jumaat.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan cadangan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron supaya Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu bukan satu tindakan bijak.

"Saya berpandangan cadangan beliau itu bukan cadangan yang tak baik kerana cadangan untuk menyatupadukan sesiapa sahaja juga adalah cadangan yang baik.

Iklan
Iklan

"Tetapi kalau nak campurkan air laut dan air tawar ini kemudian nk bela ikan, itu bukan satu tindakan yang bijak,” katanya pada sidang akhbar khas mengenai Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Iklan

Memetik laporan Malaysiakini pada Jumaat, Idris mencadangkan kedua-dua parti berkenaan, PH dan PN perlu bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas pemimpin UMNO yang kini bersama PKR itu percaya PH memerlukan ‘wow factor’ untuk memenangi pilihan raya umum.

Iklan

Berhubung PAT Bersatu pula, Ahmad Faizal berkata, ia akan melibatkan seramai 1,600 para perwakilan daripada 197 bahagian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, perhimpunan itu juga akan diadakan selama dua hari, bermula Sabtu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

"Sayap Sri Kandi dan Armada akan diadakan esok (Sabtu), manakala perasmian dan persidangan agung Bersatu pula pada Ahad,” katanya.

Tambah Ahmad Faizal, beliau dan juga semua perwakilan serta ahli Bersatu seluruh negara termasuk sayap bersekutu ternanti-nanti akan ucapan dasar daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami menjangkakan ucapan beliau akan menggariskan perkara-perkara penting yang akan menjadi panduan bagi semua ahli Bersatu selain menyentuh tentang situasi politik semasa,” katanya.