Urus ekonomi negara lebih lestari

Iklan
Ekonomi negara dijangka menuju ke arah pemulihan pada tahun hadapan.

Ekonomi negara dijangka menuju ke arah pemulihan pada tahun hadapan.

Peruntukan besar dalam Bajet 2022 buktikan kerajaan ambil pendekatan berani

Iklan
Iklan

SHAH ALAM - Pakar Ekonomi berpandangan bahawa Bajet 2022 merupakan wadah bagi kerajaan menguruskan ekonomi dengan lebih lestari terutamanya dalam konteks pemulihan daripada Covid-19.

MOHD AFZANIZAM

Iklan
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendekatan itu tertumpu pada perbelanjaan yang akan mengurangkan beban rakyat seperti bayaran pindahan, subsidi dan geran perniagaan.

Pelaksanaannya untuk mengurangkan defisit fiskal melalui pengenalan cukai baharu seperti cukai Makmur.

Iklan

"Pengenalan semula cukai terhadap pendapatan daripada sumber asing (luaran / foreign sourced income) juga menunjukkan satu usaha bagi memastikan kutipan hasil kekal tinggi.

"Kerajaan juga dilihat melaksanakan haknya untuk mengenakan cukai mengikut kesesuaian dan keperluan negara.

"Umumnya, kerajaan kekal memastikan ekonomi negara terus disokong di samping memastikan disiplin pengurusan kewangan awam akan sentiasa dijamin,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Afzanizam berkata, peruntukan yang besar sememangnya bakal menghasilkan kesan berganda terhadap ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, ia amat bergantung kepada kepantasan jentera kerajaan untuk merealisasikan apa yang telah dirancang.

"Sebagai contoh, perbelanjaan pembangunan yang besar iaitu RM75.6 bilion mampu menjana pelaburan awam yang lebih tinggi pada tahun hadapan.

"Perkara ini akan merangsang pelaburan swasta memandangkan perbelanjaan modal yang bakal dilaksanakan oleh syarikat swasta terutamanya yang terlibat dengan projek infrastruktur.

"Ia akan menyebabkan kesan rantaian kepada industri-industri yang berkaitan seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila ekonomi lebih rancak dan bergerak aktif, ia bakal mewujudkan permintaan terhadap buruh, sekaligus akan dapat mengurangkan kadar pengangguran.

AHMED RAZMAN

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peruntukan kewangan yang besar menerusi Bajet 2022 membuktikan bahawa kerajaan sanggup mengambil pendekatan berani untuk tidak mengehadkan program atau projek yang dibentangkan.

"Kalau kita lihat, Bajet 2022 lebih tertumpu kepada suntikan fiskal dan juga pelaksanaan infrastruktur berskala kecil.

"Ia memberi impak dan bertujuan merancak kembali aktiviti perniagaan, kerana kalau kita lihat, banyak program infrastruktur membantu industri tempatan supaya limpahan ekonomi kepada pasaran tersebut,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Bajet 2022 juga banyak memberi ruang kepada kontraktor tempatan untuk kembali bernafas serta merancakkan beberapa sektor yang terkesan seperti pengangkutan, perubatan dan pelancongan.

"Saya nampak pendekatan kali ini masih ada lagi ruang untuk kerajaan berbelanja besar demi peningkatan dan pemulihan ekonomi.

"Program jamin kerjaya memberi peluang pekerjaan baharu sebanyak 600,000 termasuk MyStep dengan 80,000 yang memberi harapan bahawa belanjawan ini mampu membuka peluang pekerjaan supaya rakyat dapat kembali ada pendapatan.

"Yang betul-betul terkesan dapat bantuan suntikan langsung dan kepada peniaga, bantuan kewangan masih lagi banyak disediakan serta yang menarik ialah bahawa banyak inisiatif bersifat pembiayaan ekuiti,” ujarnya.

Tambahnya, Bajet 2022 menunjukkan kerajaan berani mengambil pendekatan bagi memastikan berlakunya pertumbuhan positif dalam negara.

Bajet penyayang

ZAKARIAH

Menurut bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid, secara umum, ia menyokong peningkatan dalam kesejahteraan pekerja dan isi rumah serta produktiviti dan kemampanan fiskal.

"Pertamanya, bajet mengembang ini akan melebarkan defisit fiskal kerana perbelanjaan yang lebih besar daripada hasil adalah sementara sahaja dalam tahun 2022 berdasarkan pengukuhan ekonomi global dan domestik.

"Selain itu, kesejahteraan pekerja dengan mengukuhkan gaji melalui subsidi gaji dan ERP (Employment Retention Program) yang diteruskan daripada pakej rangsangan yang lalu.

"Pendapatan isi rumah dan golongan pertengahan dijangka dapat diperkukuhkan apabila pengukuhan ekonomi berterusan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zakariah berkata produktiviti dan penggunaan teknologi digital akan dapat dipulih dan diperkukuhkan dengan pembukaan semula ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

"Ini termasuk peningkatan gross fixed capital formation (pembentukan modal tetap kasar) dan

balance of payment (imbangan dagangan) dijangka terus mengukuh dengan pemulihan ekonomi domestik dan global,” ujarnya.

SHANKARAN

Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, Bajet 2022 adalah bajet penyayang yang cuba mengambil kira keperluan perniagaan dan rakyat.

Ini kerana bajet ini memberi fokus terhadap golongan B40 dan pada masa sama, tidak melupakan wanita, M40, sektor tidak formal dan kumpulan etnik yang berbeza baik Bumiputera mahupun bukan Bumiputera.

"Bajet telah cuba untuk memenuhi keperluan rakyat. Tumpuan belanjawan adalah B40, tetapi belanjawan telah melangkaui keperluan kumpulan teras ini.

"Terdapat peruntukan yang banyak untuk pendidikan dan kesihatan. Ini adalah peruntukan yang amat diperlukan. Selain itu, golongan wanita juga tidak dilupakan,” katanya.

Ujar Shankaran, dengan langkah-langkah yang kerajaan telah perkenalkan, beliau rasa ekonomi akan menuju ke arah pemulihan pada tahun 2022.

"Kerajaan telah dikritik kerana had hutang dinaikkan dan terdapat banyak perbelanjaan yang dilakukan, tetapi saya fikir dalam keadaan sekarang, ini adalah arah yang betul untuk diambil.

"Ia penting bagaimana kita boleh keluar daripada ekonomi kita yang tertekan. Bajet 2022 mengambil langkah yang betul,” jelasnya.