Pejuang akui sudah dapat sokongan ahli UMNO

Iklan
Mior Nor Haidir

IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak mengakui parti itu sudah mendapat sokongan bukan sahaja rakyat yang bosan dengan UMNO tetapi daripada ahli UMNO sendiri.

Ketua Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, sokongan dan sambutan diterima pihaknya daripada pengundi di Perak amat baik malah ahli pimpinan Pejuang Perak juga sangat mudah mendekati penduduk di setiap Parlimen yang mereka santuni.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan membawa satu ideologi baharu yang telah diperkenalkan oleh Pejuang Perak sendiri, ia berjaya menarik minat ramai orang Melayu kerana mereka muak dengan politik wang dan rasuah.

"Masyarakat sudah mula terbuka dan menerima kemasukan parti-parti baharu yang memasuki kawasan mereka setelah sekian lama dipimpin wakil parti sedia ada, tiada perubahan yang dilakukan di kawasan tersebut.

Iklan

"Pejuang juga telah mendapat sokongan dari ahli-ahli UMNO itu sendiri apabila ada dalam kalangan mereka yang telah mendaftar sebagai ahli Pejuang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, fokus utama Pejuang juga terarah kepada segmen pengundi baharu terutama undi 18 dan pengundi automatik berdaftar yang belum menjadi atau menyokong mana-mana parti politik sebelum ini.

Iklan

Sementara itu, Mior Haidir menjelaskan Pejuang Perak telah bersiap siaga dalam mengenal pasti calon-calon yang mampu menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pelbagai tapisan dan laporan telah dianalisis bagi memilih calon-calon terbaik mewakili Pejuang termasuk pemimpin belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat yang berpengaruh serta calon utama dalam kalangan anak tempatan.

"Pejuang Perak percaya akan berlaku satu perubahan landskap politik yang besar pada PRU15 kerana pelaksanaan undi 18.

"Jadi masalah calon lama atau baharu bukan menjadi sebagai kayu penghalang PRU15 kali ini," katanya.

Pada 15 Disember lalu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup menyokong UMNO kerana korupsi dan jenayah boleh menyokong Pejuang.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, kepimpinan Pejuang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO yang berjaya membangunkan Malaysia serta berkhidmat untuk rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu tidak sanggup sokong UMNO boleh pilih Pejuang: Tun M