SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menganggap kerjasama yang terjalin di antara Parti Warisan (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukanlah ancaman kepada Pakatan Harapan (PH).
"Bagi saya tidak ada ancaman penubuhan parti-parti politik ini dan sama ada perlu atau tidak kerjasama dengan parti politik ini, ia akan kita bincang di peringkat PH.
Iklan
Iklan
"Kita akan berbincang di peringkat Majlis Presiden PH kalau ada permohonan dan memanglah di atas konsep khemah besar kita kena mencari sahabat yang ramai untuk hadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada media selepas pelancaran buku yang ditulisannya, ‘Juang Mat Sabu’, pada Jumaat.
Mohamad berkata, PH perlu mengadakan perbincangan itu susulan kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini, yang memerlukan pakatan itu mencari kekuatan baharu.
Warisan secara rasminya melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia hari ini dengan harapan menjadi landasan dalam mengubah landskap politik negara di peringkat nasional.
Selain Muda, Warisan juga terbuka untuk bekerjasama dan membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. - Bernama