SHAH ALAM - Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik atau Better Malaysia Assembly diharap dapat menjadi platform untuk menghasilkan idea terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, badan yang diusahakan oleh 55 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang itu perlu berbincang untuk mengetengahkan aspek pendidikan baharu.
"Terutamanya berkaitan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengekodan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
"Hal ini membolehkan lebih banyak pembelajaran baharu yang diperkenalkan kepada pelajar supaya mereka sentiasa inovatif, kreatif dan berfikir di luar kotak.
"Semua bidang baharu ini boleh diketengahkan agar pelajar-pelajar kita akan bergerak ke hadapan setanding dengan masyarakat di negara maju,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak bersama 54 orang tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga membentuk Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea dan syor ke arah Malaysia lebih baik pada masa hadapan.
Kumpulan itu yang bakal berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun akan membentangkan syor atau cadangan bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.
Beliau berkata, situasi pandemik Covid-19 dan tahap ekonomi negara yang masih belum pulih sepenuhnya mengakibatkan ramai yang hilang pekerjaan dan ramai pelabur enggan melabur dalam negara.
"Jadi, saya harap himpunan yang bakal mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang masing-masing ini dapat memainkan peranan dalam menyuarakan idea dan pandangan bernas bagi mewujudkan Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang,” ujar beliau.