JOHOR BAHRU - Tiga warganegara Indonesia yang ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi dua hari lepas, telah dikenal pasti identiti oleh keluarga masing-masing.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di sini dalam satu kenyataan berkata, tiga yang dikenal pasti terdiri daripada seorang wanita dari Pekan Baru dan dua lelaki dari Lombok Tengah.
Iklan
Iklan
"Hingga sore (petang) ini, tiga jenazah telah diverifikasi oleh pihak keluarga. KJRI Johor Bahru telah berkoordinasi dengan pihak keluarga serta agensi berkaitan untuk proses repatriasi jenazah ke daerah asal di Indonesia,” menurut kenyataan berkenaan, lewat petang Jumaat.
Menurutnya setakat ini sembilan daripada 13 individu yang terselamat merupakan warga Indonesia yang berasal daripada Lombok, dan masing-masing seorang daripada Batam, Pekan Baru, Jember dan Tanjung Balai Karimun.
Katanya semua 13 warganegara Indonesia yang terselamat berada dalam keadaan baik di bawah jagaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, dan pihaknya akan sentiasa memastikan kesemua mereka dalam keadaan sihat di samping sentiasa berkomunikasi dengan ahli keluarga di Indonesia.
Setakat ini 20 mayat telah ditemukan, seorang meninggal semasa menerima rawatan, manakala 16 lagi masih hilang, dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut boleh menghubungi KJRI dengan menelefon hotline 016-7700378 atau 017-7716866. - Bernama