KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan wanita yang disyaki memproses dan menjual pelbagai jenis dadah sintetik bernilai RM 545,325 ditahan dalam serbuan Ops Carmill di Residensi Rimbunan, Bandar Seri Petaling di sini, pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, pihaknya turut menemui serbuk putih disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 115 gram bernilai RM5,750 dalam serbuan pada jam 11.55 malam tersebut.
Menurutnya, hasil soal siasat pihaknya menyerbu sebuah lagi premis di Residensi Rimbunan di sini pada Khamis susulan premis tersebut dipercayai dijadikan stor serta tempat memproses cecair dadah.
"Hasil serbuan tersebut polis berjaya merampas serbuk MDMA seberat 8,932 gram bernilai RM 446,600, cecair MDMA (558 botol) bernilai RM83,700, ketamin (63 gram) bernilai RM 9,450.
"Turut ditemui adalah pil ekstasi (190 biji) bernilai RM3,200 dan pil erimin 5 (120 biji) bernilai RM 2,375. Keseluruhan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 19,416 pengguna dadah," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Sahar berkata, sindiket berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak enam bulan lalu dan beroperasi menggunakan kondominium mewah dengan kawalan keselamatan yang ketat untuk mengelakkan daripada pihak berkuasa.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pengunjung di pusat hiburan.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.